Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) meneruskan legasi menyantuni alam dengan menganjurkan Program GeoCycling 2024. Program ini merupakan kesinambungan kepada Program Kayuhan Santai Alam: Hello Enviroment yang pernah dianjurkan pada 19 Mac 2022 yang lalu.

Penganjuran yang telah memasuki tahun ketiga ini telah diberi penjenamaan baharu dengan nama yang lebih menarik iaitu Program GeoCycling. Melalui program ini, LADA berusaha untuk mempelbagaikan pendekatan bagi menerapkan sifat cintakan dan sayangi alam sekitar di kalangan komuniti setempat. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mempromosikan Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) kepada semua, serta memberikan pendedahan berkaitan keunikan sejarah bumi di Langkawi.

Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Pegawai Kesekutif LADA berkata, “Pada hari ini, kita akan berbasikal mengelilingi sebuah kawasan Geotapak Gegelang Mahsuri (Mahsuri Ring). Berdasarkan bukti saintifik, kawasan ini merupakan sebuah kawah yang terhasil daripada hentaman meteorit 10 ribu tahun yang lalu. Geotapak ini boleh dilihat dengan jelas daripada puncak Gunung Raya. Jadi LADA cuba memperkenalkan acara berbasikal yang lebih santai melalui inisiatif Program GeoCycling untuk disertai oleh pelancong dan komuniti setempat di samping melaksanakan aktiviti konservasi di sekitar lokasi kayuhan.”

Program GeoCycling Siri 1 hari ini telah disertai oleh 100 orang penjawat awam dari pelbagai jabatan/agensi di Langkawi. Laluan sepanjang 13 kilometer ini melalui kawasan kampung dan sawah padi di samping sesi perkongsian ilmu serta berkaitan keunikan sejarah bumi dan budaya akan dikongsi oleh Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari, Pengurus Pelancongan LADA.

Menjadi hasrat LADA mempelbagaikan pendekatan bagi membolehkan aktiviti pelancongan yang dilaksanakan dapat memberi nilai positif kepada pembangunan Langkawi ke arah destinasi pulau pelancongan rendah karbon. Program sebegini juga akan meninggalkan jejak karbon (carbon footprint) yang minima kepada alam sekitar, seterusnya dapat mempromosikan pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah Langkawi untuk generasi akan datang.

-TAMAT-
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
27 Januari 2024
_____________________________________________________________________________________________________________________________

Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.
_____________________________________________________________________________________________________________________________