Pejabat Agama Daerah Langkawi dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Langkawi dengan jayanya telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Langkawi pada 11 November 2019 (Isnin) bermula 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari bertempat di Dataran Chenang, Langkawi.

Penganjuran program ini sebagai usaha murni memberi pendedahan dan memperingati sirah Nabi Muhammad S.A.W, mengambil iktibar daripada pengorbanan Rasulullah terhadap umatnya serta memberi kesedaran akan kasihnya Rasulullah S.A.W. Melalui program ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain di samping memupuk semangat bersatu padu di kalangan umat Islam.

Antara pengisian penganjuran program ini ialah perarakan oleh agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak masjid seramai lebih 300 orang peserta bermula dari Meritus Pelangi Beach Resort & Spa ke Dataran Chenang, Langkawi. Seterusnya program ini diteruskan dengan Forum Perdana Maulidur Rasul yang menampilkan Ustaz Ash-Shukri Bin Ashaari sebagai moderator serta Ustaz Lutfi Amir Bin Abdullah dan Ustaz Azizi Bin Abdullah sebagai barisan panel. Program ini turut dimeriahkan lagi dengan alunan qasidah oleh pelajar Maahad Tahfiz An-Nabawi Langkawi.

Program Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Langkawi 2019 ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Juhari Bin Bulat, ADUN Ayer Hangat, Langkawi.