Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI!
Tahun 2023 telah pun melabuh tirainya dan kini masanya kita membuka lembaran baru dengan azam yang baharu pada tahun 2024. Mengimbas kembali peristiwa 2023, LADA dan Langkawi tidak terlepas daripada pelbagai kisah suka dan duka serta kejayaan yang dibanggakan.

Antara pencapaian yang telah berjaya diraih dalam sektor pelancongan pada tahun 2023 ialah empat (4) pengiktirafan yang diterima badan dan pertubuhan NGO seperti Asian Tourism & Hospitality (ATH) Awards 2022-2023 – “Leading Government Tourism Board of The Year” dan IBR Global Maritime And Aerospace Awards – “Government Service Delivery for MICE Tourism Promotion Strategies”.

Selain itu, apa yang lebih bermakna lagi, kejayaan mengekalkan status Langkawi sebagai UNESCO Geopark Global dilanjutkan selama empat tahun lagi apabila diberi penarafan kad hijau buat kali keempat.

Sesungguhnya tahun 2024 dijangka akan memberi cabaran yang lebih besar. Marilah kita bersama-sama membina kejayaan demi kesejahteraan Langkawi.

Semoga kita terus beristiqamah dan beriltizam untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik dengan lebih cemerlang dan berintegriti.
Semua pemain industri perlu bersatu hati, meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan menggembleng tenaga bagi memajukan sektor pelancongan Langkawi yang kita cintai ini. Bersempena tahun baharu 2024, diharapkan kita semua dapat memupuk persefahaman antara satu sama lain dengan lebih erat dalam usaha memajukan Langkawi.

Semoga 2024 membawa kegembiraan, kejayaan dan kemakmuran kepada kita. Selamat menyambut tahun baharu diucapkan kepada seluruh warga LADA, pemain industri dan komuniti Langkawi, rakan strategik LADA, rakyat Malaysia dan para pelancong domestik dan antarabangsa.
Ikhlas daripada Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid
Ketua Pegawai Eksekutif LADA