Langkawi, 11 Ogos 2021 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Langsura Geopark Sdn. Bhd. (LGSB) meneruskan program bantuan kepada pekerja industri pelancongan yang terjejas mata pencarian mereka akibat wabak COVID-19 melalui bantuan peralatan bagi menangkap sotong.

Objektif utama projek pemulihan ini adalah untuk membuka laluan kepada pengusaha-pengusaha bot pelancong yang terjejas bagi meneroka bidang ekonomi baru sebagai mata pencarian. Ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan ini meneruskan kelangsungan hidup, seterusnya meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Program ini juga merupakan salah satu tindakan yang diperkenalkan di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) dan disertai oleh 10 orang pengusaha bot pelancongan yang berpangkalan di Jeti Teluk Baru, Langkawi. Penyerahan bantuan disempurnakan oleh YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA di Jeti Marina, Resorts World, Tanjung Malai, Langkawi. Secara keseluruhan, sebanyak RM30,000.00 telah diperuntukkan bagi projek ekonomi kecil ini. Setiap peserta menerima bantuan bernilai RM3,000.00 yang disampaikan dalam bentuk alatan menangkap sotong.

Jemaah Pengarah LADA telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM3 juta bagi program HELANG yang telah dimulakan sejak pertengahan tahun lalu. Sehingga kini, lebih 500 orang peserta telah mendapat manfaat, antaranya penggiat industri pelancongan Langkawi seperti pemandu teksi, pemandu pelancong, artis budaya dan peniaga kecil.