Langkawi, 24 Mei 2022 – Langkawi berjaya mencatat rekod baru apabila mencipta nama dalam Malaysia Book of Records melalui penganjuran acara pelancongan di litar MORAC Adventure Park, Langkawi yang diiktiraf sebagai The Longest Distance Covered in A Go-Kart in A Day.

Program ini dilaksanakan selama 24 jam bermula pada jam 11.00 pagi, 23 Mei hingga 11.00 pagi 24 Mei 2022. Program kerjasama di antara LADA dan pihak pengurusan MORAC Adventure Park ini bertujuan untuk mendapatkan pengiktirafan daripada pihak Malaysia Book of Records bagi kategori jarak pemanduan go-kart yang paling jauh dalam 24 jam.

Menyambut baik penganjuran aktiviti sebegini, LADA berharap lebih banyak pihak swasta dan NGO turut serta memeriahkan acara sukan permotoran sebegini.

“Hari ini, Langkawi melakar nama dalam Malaysia Books of Records melalui acara sukan permotoran dengan mencatatkan jarak 1,096km bagi mencatatkan nama rekod jarak pemanduan go-kart yang paling jauh dalam sehari (24jam). Rekod ini telah dicipta oleh pelumba Praveent Chelvam, berusia 31 tahun yang telah terlibat dalam sukan permotoran ini bagi tempoh 15 tahun. Inisiatif ini diharapkan dapat mencetuskan semangat kepada semua pihak untuk terus menganjurkan acara pelancongan di Langkawi.” Kata Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA semasa menghadiri Majlis Penerimaan Sijil Malaysia Book of Records di litar MORAC Adventure Park hari ini.

Program ini juga bertujuan mempromosikan litar MORAC Adventure Park sebagai antara litar go-kart terbaik di Malaysia dan secara tidak langsung dapat menarik peminat sukan pemotoran ke Langkawi. MORAC Adventure Park turut menjadi pilihan kepada beberapa kejohanan besar seperti ROTAX Max Challenge Malaysia 2022 dan Go Langkawi 6hr Endurance Race 2022 yang dijadualkan berlangsung pada hujung tahun ini.

LADA telah merancang untuk melaksanakan pelbagai acara sukan pada tahun ini bagi merancakkan dan memeriahkan industri pelancongan di Langkawi. Antaranya ialah Langkawi International Beach Soccer (16 – 18 September), 8th World Carom Championship 2022 (3 – 7 Oktober), Langkawi International Tug of War (LITOW) 2022 (13 – 16 Oktober) dan Langkawi Swimming Fest 2022 (4 Disember 2022). Pada tahun ini juga, dua (2) acara sukan yang sinonim dengan Langkawi iaitu Le Tour De Langkawi dan Ironman Malaysia akan kembali diadakan setelah negara beralih ke fasa endemik.

Maklumat Tambahan :

Profil Pelumba

Nama : Praveent Chelvam
Tarikh lahir : 3 November 1991
Pengalaman : 15 tahun dalam bidang automotif
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Westminister College of London
Pekerjaan : Sales & Track Manager, MORAC Adventure Park
Maklumat Litar MORAC Adventure Park
Jarak : 1.242 km
Status : Outdoor trek
Selekoh : 21
Spesifikasi Go-Kart
Model : Sodi Kart SR4
Kapasiti Enjin : 270 cc /strok
Berat : 140 kg
Tayar : Sodi Meka One – hard compound
Kelajuan Maksimum: 65km/j

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
24 Mei 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.