Langkawi, 6 September 2020 – Penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan terhadap seluruh dunia terutamanya sektor pelancongan. Pulau Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan utama negara tidak terkecuali daripada cabaran bagi memulihkan semula ekonominya.

Ekonomi Langkawi mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada sektor pelancongan sehingga kira-kira 70 peratus. Oleh itu, bagi meminimumkan impak negatif wabak tersebut di pulau ini, LADA telah memulakan aktiviti-aktiviti pemasaran secara domestik. Salah satunya adalah Kempen Promosi Langkawi Great Sale (LGS) 2020 yang diadakan bermula 1 September 2020 hingga 31 Disember 2020. Kempen promosi ini merupakan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi @ HELANG bagi menjenamakan Langkawi sebagai destinasi yang bersih, selamat dan lestari.

Pada hari ini, LADA sekali lagi mengorak langkah dengan mengadakan jalinan kerjasama strategik bersama Syarikat Platform Apps Sdn. Bhd. atau MyCar. Usaha sama antara kedua-dua pihak ini akan menjadikan MyCar sebagai perkhidmatan e-hailing rasmi LGS 2020 (Langkawi x MyCar) seterusnya membantu meluaskan lagi promosi LGS yang bakal memberikan faedah kepada komuniti setempat. Berikut adalah usaha sama yang diketengahkan oleh pihak MyCar:

  • i. Menawarkan kadar flat rate dan kod promosi khas kepada pengguna-pengguna perkhidmatan sempena Langkawi Great Sale termasuk Seasonal Campaign and Special Event;
  • ii. Menyediakan Pick Up and Drop Off Standee di setiap pusat tumpuan pelancong dan pusat perkhidmatan pelancongan termasuk hotel di Langkawi dan seluruh Malaysia untuk memudahkan pengambilan penumpang MyCar;
  • iii. Melaksanakan pemasaran cross-marketing termasuk menyediakan pemasangan car wrap untuk pemandu MyCar serta mempromosikan LGS di semua platform media; dan
  • iv. Menggalakkan aktiviti penggambaran atau rakaman video untuk tujuan promosi di mana-mana pusat tumpuan pelancong di Langkawi.

Komitmen LADA dalam menjayakan kerjasama strategik ini adalah seperti berikut:

  • i. Menyediakan ruang di pusat tumpuan pelancong yang terpilih bagi tujuan mempromosikan perkhidmatan MyCar dalam bentuk papan pengambilan penumpang, bunting, flyers dan poster di lokasi di bawah pengurusan LADA;
  • ii. Menjalinkan kerjasama pemasaran dengan memberikan kebenaran untuk menggunakan jenama kedua-dua pihak berkaitan kempen promosi ini;
  • iii. Menjadi rakan kongsi strategik MyCar. Hubungan tersebut membawa kepada perkongsian keuntungan yang adil kepada kedua-dua pihak; dan
  • iv. Menganjurkan sesi taklimat mengenai Langkawi Great Sale serta berkongsi trend pelancongan terkini kepada para pemandu MyCar supaya maklumat tersebut dapat dikongsikan dengan pelancong yang menggunakan perkhidmatan MyCar di Langkawi. Sesi taklimat pertama dijangka akan diadakan pada 22 September 2020.

LADA optimis jumlah kedatangan pelancong ke Pulau Langkawi sebanyak sekurang-kurangnya 2.5 juta dapat dicapai pada penghujung tahun ini. Ramalan ini dibuat setelah mengambil kira rekod kedatangan pelancong sehingga Julai 2020 yang menghampiri 1.1 juta. Pada bulan Julai sahaja, seramai 189,758 orang pelancong telah masuk ke Langkawi. Jika jumlah pelancong setiap bulan dapat dikekalkan pada kadar yang sama atau mencecah 200,000 orang, maka tidak mustahil pulau ini dapat menghidupkan semula ekonominya dalam tempoh terdekat.

Semoga usaha mempromosikan pulau legenda ini akan terus mendapat perhatian dan sokongan semua pihak bagi melonjakkan semula industri pelancongan Langkawi.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
6 September 2020

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.