MAJLIS PERASMIAN DAN PENYERAHAN INSENTIF BANTUAN PERNIAGAAN LOBSTER AIR TAWAR (LAT) DAN USAHAWAN GEOPRODUK – PROJEK EKONOMI BARU (HELANG)

4 Mac 2021 – Majlis Penyerahan Insentif Bantuan Perniagaan Lobster Air Tawar (LAT) dan Usahawan Geoproduk telah diadakan di Ayer Hangat Village, Langkawi. Perasmian majlis disempurnakan oleh YBhg. Dr. Hezri Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif LADA dengan diiringi YBhg. Dato’ Syed Isa Syed Alwi, Ketua Pegawai Eksekutif DXN Agrotech Sdn. Bhd. serta YBrs. Tuan Haji Rohaizat bin Rashid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA.

Projek Lobster Air Tawar (LAT) merupakan satu projek perintis hasil kerjasama antara LADA dan Syarikat DXN Agrotech Sdn. Bhd.

LADA dan DXN Agrotech Sdn. Bhd. telah mengenal pasti cabang ekonomi baru iaitu perikanan sebagai salah satu sumber pendapatan sampingan yang boleh menjana pendapatan kepada penduduk tempatan dalam jangka masa panjang. Sektor ekonomi sekunder sama ada perikanan atau pertanian dilihat dapat meningkatkan aliran ekonomi dan melahirkan lebih ramai usahawan untuk menghasilkan produk hiliran lain, contohnya produk makanan berasaskan lobster air tawar.

Usaha ini diyakini dapat memberikan faedah kepada penduduk Langkawi yang hilang punca pendapatan apabila sektor pelancongan terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Projek perintis LAT ini melibatkan 23 individu terpilih yang terdiri daripada pemain industri dan komuniti Langkawi, antaranya kumpulan pemandu teksi, pemandu pelancong dan asnaf. Setiap peserta akan menerima bantuan sebanyak RM2,000 dalam bentuk set penternakan udang karang air tawar yang mempunyai 500 anak benih udang. Hasil ternakan ini boleh dituai oleh peserta di antara tempoh 5 hingga 6 bulan penternakan dilaksanakan. Seramai 7 orang peserta usahawan Geoproduk pula akan menerima suntikan dana sebanyak RM3,000 sebagai bantuan bagi memulakan perniagaan mereka.

LADA dan kerajaan berharap para penerima bantuan akan terus kekal mendalami dan memanfaatkan ilmu dalam cabang ekonomi baru ini melalui penternakan udang karang air tawar sebagaimana yang dilaksanakan oleh pihak DXN Agrotech Sdn. Bhd. Perniagaan ini juga diharap akan terus berkembang maju dan dapat menjadikan peserta sebagai usahawan yang berjaya.

#Kitajagalangkawi
#HELANG