Langkawi, 27 Januari 2022 – Majlis Perhimpunan Bulanan LADA telah berlangsung dengan jayanya pada 26 Januari 2022 di Auditorium dan Dewan Besar LADA. Bertemakan tahun baru, majlis yang dianjurkan oleh Bahagian Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan (BSMKP) ini telah dihadiri oleh semua warga LADA. Majlis diserikan dengan ucapan pendahuluan daripada wakil BSMKP iaitu Cik Rasanubari Asmah Rahmah binti Abd Hamid dan disempurnakan dengan ucaptama YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.

Dalam ucapan beliau, YBrs. Tuan Nasaruddin turut menyampaikan amanat kepada seluruh warga kerja LADA untuk mengamalkan nilai-nilai teras yang telah diperkenalkan iaitu Berpasukan, Integriti dan Profesionalisme atau ringkasnya BIP. Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan, nilai-nilai ini perlulah sebati dalam jiwa setiap warga LADA supaya misi dan visi agensi ini dapat dicapai.

Majlis perhimpunan ini turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan buat para pemenang dan peserta Pertandingan Mencipta Slogan Korporat LADA, tayangan video klip khas Sambutan Tahun Baru 2022 LADA dan Buletin LADA (dengan hos istimewa KakCaq) serta persembahan nyanyian ‘Gemuruh’ oleh pasukan koir LADA.

Turut berlangsung ialah Majlis Sanjungan Budi, Sulaman Kasih bagi meraikan perpisahan YBrs. Tuan Rohaizad bin Rashid, SDK., AMK., BCK., (bekas) Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA. Dengan tamatnya tempoh peminjaman beliau di LADA, YBrs. Tuan Rohaizad dilantik sebagai Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu, Serdang, Kedah.

Pihak pengurusan dan seluruh warga kerja LADA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBrs. Tuan Rohaizad atas segala jasa dan bakti yang telah ditabur sepanjang perkhidmatan beliau di sini. LADA mendoakan agar segala urusan beliau dipermudahkan dan semoga beliau kekal berbakti dengan cemerlang di tempat baharu.