Tarikh : 22 Oktober 2023 (Ahad)
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Ramada, Royal Langkawi Yatch Club

KATA ALUAN
Terima kasih saudara/saudari pengerusi majlis,
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salutasi
(Seperti di Lampiran)

PENGENALAN

1. Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan
limpah perkenan dan izin-Nya kita dapat bersama-sama hadir dalam Majlis Makan Malam sempena Kejohanan Perodua National Amateur Golf Series (PNAGS) 2023.

2. Golf merupakan salah satu bentuk aktiviti yang boleh membina dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan pemain selain membawa manfaat kesihatan tubuh badan yang sihat. Aktiviti sebegini juga dilihat sebagai salah satu kaedah networking dalam melaksanakan tugasan kerana networking yang baik akan dapat membantu menghasilkan kerja yang berkualiti dan memelihara hubungan yang baik antara satu sama lain.

3. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Delta World Sdn. Bhd. yang telah sudi memilih Langkawi sebagai lokasi akhir perlawanan dan menjalinkan kerjasama strategik bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi menjayakan kejohanan PNAGS 2023 dan juga majlis makan malam ini.

LATAR BELAKANG KEJOHANAN

Hadirin yang dihormati sekalian,

4. Kejohanan PNAGS 2023 ini merupakan penganjuran kali yang ketiga (ke-3) pada tahun ini. Langkawi amat bertuah kerana telah dipilih sebagai lokasi akhir penganjuran acara ini. Saya difahamkan beberapa siri saringan telah diadakan di 14 buah negeri yang melibatkan pusingan kelayakan antara 100 hingga 120 orang peserta.

5. Pada kejohanan akhir ini, lima (5) orang peserta daripada 68 orang peserta akan dipilih bagi mewakili Malaysia ke World Amateur Golfers Championship, World Final. Justeru, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta, semoga semua peserta akan dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam kejohanan ini.

LANGKAWI SEBAGAI HUB PENGANJURAN ACARA SPORT TOURISM

Hadirin yang dihormati sekalian,

6. Langkawi telah menjadi tumpuan dan pilihan pihak pengurusan acara (event management) bagi menganjurkan pelbagai jenis acara pelancongan sukan. Sehingga bulan Oktober 2023, sebanyak 26 acara telah diadakan di Langkawi dan 70% daripada acara tersebut adalah berkonsepkan sport tourism.

7. Seperti yang sedia maklum, pada 7 Oktober yang lalu Langkawi telah menjadi tuan rumah bagi acara triathlon yang menjadi tumpuan atlet bertaraf dunia iaitu Kejohanan IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Asia Pasifik. Langkawi juga buat pertama kalinya telah terpilih sebagai lokasi penganjuran Kejohanan IRONMAN 70.3 Asia Pasifik, Langkawi.

8. LADA mengamalkan dasar terbuka dan sentiasa menyambut baik serta menyokong penganjuran acara sport tourism seperti Kejohanan PNAGS 2023 ini. Dengan adanya penganjuran acara sebegini, secara tidak langsung dapat memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

9. Selain itu, penganjuran acara sebegini di Langkawi merupakan faktor penarik kepada peserta yang menyertai pertandingan akan turut membawa pasukan atau keluarga untuk bercuti. Suka saya berkongsi di sini, adalah dianggarkan nilai ekonomi yang diperoleh daripada penganjuran acara PNAGS 2023 ini adalah RM450 ribu.

10. Penganjuran kejohanan golf ini sekali gus dapat membantu merancakkan kembali sektor pelancongan dan serta ekonomi Langkawi. Limpahan ekonomi akan turut dinikmati bermula daripada peniaga di tepi jalan hinggalah penginapan mewah iaitu hotel bertaraf lima bintang. Hasrat LADA adalah agar Langkawi dapat kembali pulih dan limpahan ekonomi ini dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat Langkawi.

PRESTASI PELANCONGAN

Hadirin yang dihormati sekalian,

11. Sehingga September, jumlah kehadiran pelancongan ke Langkawi berjumlah 2.04 juta orang bersamaan 64% daripada sasaran kehadiran bagi tahun 2023.

12. Saya dimaklumkan masih terdapat 15 acara yang telah dirancang sehingga akhir tahun ini antaranya ialah:
i. Langkawi Geopark Enduro Challenge 2023 (12 November 2023);
ii. Langkawi International Half Marathon 2023 (2 Disember 2023);
iii. Pesta Bendang (16 – 17 Disember 2023); dan
iv. Langkawi International Folk Fest 2023 (29-31 Disember 2023).

PENUTUP

13. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, sekali lagi saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, iaitu Delta World Sdn. Bhd. atas kesudian jalinan kerjasama strategik bersama LADA dan menjadikan Langkawi sebagai lokasi berlangsungnya acara golf yang berprestij ini. Saya berharap kerjasama ini tidak terhenti di sini sahaja.

14. Akhir kata, saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta. Bertandinglah secara profesional dan sihat. Kalah dan menang adalah adat pertandingan. I wish you all the best!

15. Saya akhiri ucapan saya dengan kalimah Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.