Langkawi, 6 Mac 2022 – Seramai 200 orang anak-anak Langkawi menerima sumbangan sempena Program Back to School 2022 yang dilaksanakan pada 6 dan 7 Mac 2022.
Program dengan tema “Hidupkan Hati Dengan Ilmu” ini merupakan program amal komuniti anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi (PPD). Program ini adalah salah satu cabang daripada komponen pembangunan komuniti untuk memperkasakan pembangunan modal insan di Langkawi.
“Program ini menyasarkan penyaluran bantuan kepada anak-anak yatim, kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan anak-anak daripada keluarga yang memerlukan bantuan di Langkawi. Setiap penerima diberi bantuan tunai sebanyak RM150 seorang dengan peruntukan keseluruhan yang berjumlah RM30,000. Terima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi yang telah menjadi pemudah cara kepada LADA bagi mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan pada kali ini,” kata YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.
Menurut beliau lagi, antara matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk mengurangkan beban golongan yang memerlukan bantuan agar mereka dapat membuat persediaan bagi meneruskan sesi persekolahan 2022. Selain itu, program ini juga diharap dapat memberikan semangat dan keceriaan kepada pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk kembali ke sekolah.
LADA akan terus merealisasikan pelbagai program pembangunan modal insan bagi memastikan anak-anak Langkawi tidak tercicir dalam arus pembangunan. Semoga anak bangsa Langkawi sentiasa cemerlang dan berjaya menempa nama dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.