Langkawi, 10 September 2022 – Pulau Langkawi sekali lagi menjadi tumpuan peminat sukan berbasikal pada Kejohanan Langkawi Legendary Ride 2022. Acara ini merupakan edisi kedua dengan jumlah 1,640 penyertaan dari tujuh (7) buah negara iaitu Singapura, Indonesia, Great Britain, Thailand, Australia, Netherland dan Perancis, selain penyertaan tempatan.
Acara ini merupakan penganjuran bersama di antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Tough Gorilla Ventures. Kali ini, acara ini menawarkan tiga kategori iaitu Legendary Ride sejauh 101 kilometer (km), Eagle Ride (60 kilometer) dan Mahsuri Ride (30 kilometer) sebagai pilihan.
Turut hadir menyertai acara ini dalam kategori Eagle Ride (60 kilometer) ialah Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan 1.
LADA yakin, acara-acara sebegini mampu menarik lebih ramai pelancong kerana kebiasaannya peserta akan mengambil kesempatan yang ada untuk membawa keluarga bercuti sambil menyertai acara sukan berbasikal di Langkawi. Atas kepercayaan para pelumba basikal memilih Langkawi untuk acara-acara berprestij, kita menjangkakan statistik kedatangan pelancong ke Permata Kedah ini akan meningkat pada suku tahun keempat 2022.” kata Nasaruddin bin Abdul Muttalib.
Selain itu, LLR 2022 juga sering dijadikan pentas untuk sesi memanaskan badan oleh peserta menjelang kejohanan triathlon IRONMAN Malaysia pada 5 November ini.
Acara ini turut dimeriahkan dengan penyertaan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.