Langkawi, 31 Ogos 2022 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Anak Inspirasi Seni (WAIS) dalam usaha untuk memartabatkan Jikey iaitu seni warisan budaya Langkawi.

Usaha ini dizahirkan dengan penganjuran Bengkel Bersama Adiguru Jikey- Pemindahan Ilmu Kepada Generasi Baru bertempat di Auditorium Kompleks LADA. Bengkel ini merupakan satu medium dalam pemindahan ilmu kepada generasi baru terutamanya golongan belia di Langkawi. Program ini, dijangkakan dapat memupuk semangat untuk mengenali dan mencintai seni persembahan Jikey di kalangan generasi pelapis.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin bin Abdul Muttalib ketika ditemui menjelaskan bahawa LADA amat menyokong usaha melestarikan teater tradisional Jikey ini dan mengharapkan supaya lebih ramai golongan belia Langkawi melibatkan diri dalam usaha memperkasakan teater Jikey. Legasi Jikey ini perlu dihayati dan diturunkan kepada anak-anak muda agar ia terus diwarisi dan tidak dilupakan.

Bengkel yang diadakan selama enam (6) hari mulai 26 Ogos 2022 lalu telah berjaya menarik sejumlah 34 orang pelapis baru untuk menghasilkan Teater Tradisional Jikey ini. Lebih membanggakan bengkel ini turut disertai oleh 20 orang guru dan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hangat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, Langkawi.

“Saya amat mengagumi semangat Guru Jusoh bin Chin dan Guru Bibun bin Arshad yang berusaha gigih untuk terus memperjuangkan aktiviti kesenian ini. Di kala usia sebegini, kedua-dua adiguru ini masih mempunyai kesungguhan dan minat yang tinggi untuk bersama-sama kita mengembangkan seni Jikey Langkawi. Saya yakin seni persembahan Teater Jikey ini mempunyai potensi untuk melonjakkan industri pelancongan di Langkawi di bawah kluster warisan budaya iaitu seni persembahan, industri kraftangan dan seni visual. Semoga seni ini menjadi sebahagian daripada nadi budaya Langkawi dan mengalirkan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.” kata Nasaruddin bin Abdul Muttalib.

Bengkel ini turut dihadiri oleh Encik Adzayme bin Hamidon, Pengerusi Persatuan Anak Inspirasi Seni (WAIS) dan telah diakhiri dengan persembahan penuh teater Jikey hasil daripada peserta bengkel di Auditorium, Kompleks LADA.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
30 Ogos 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.