Langkawi, 24 Jun 2022 – Edisi kedua Langkawi Legendary Ride 2022 menyasarkan penyertaan 1,800 orang peserta dari pelbagai golongan peminat basikal di negara ini. Acara ikonik yang mula diperkenalkan pada tahun 2019 telah berjaya menarik penyertaan seramai 971 orang peserta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Perancangan dan Pembangunan, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tuan Wan Kamarul Faisal bin Wan Kamardin berkata:

“Setelah edisi 2020 dan 2021 dibatalkan berikutan pandemik COVID-19, perlumbaan ikonik mengelilingi Pulau Langkawi ini akan kembali menemui peminat dan menggegarkan jalan raya pada 10 September 2022 nanti. Dalam penganjuran kali ini, kita menyasarkan seramai 800 orang peserta antarabangsa akan menyertai acara ini. Manakala 1,000 orang peserta lagi adalah daripada peminat basikal dari dalam negara.”

Beliau turut mengesahkan bahawa LADA telah bekerjasama dengan Syarikat Tough Gorilla bagi meneruskan penganjuran acara ini. Pada tahun ini, format pertandingan masih dikekalkan kepada tiga (3) kategori pertandingan iaitu Route 101 Legendary Ride dengan jarak berbasikal 101 kilometer, Route 60 Eagle Ride dengan jarak berbasikal 60 kilometer dan Route 30 Mahsuri Ride dengan jarak berbasikal 30 kilometer.

“Para peminat berbasikal pasti teruja dengan kembalinya LLR2022. Acara ini bakal dijadikan sebagai pentas untuk sesi memanaskan badan oleh peserta kejohanan triatlon Ironman Malaysia yang tidak asing lagi di Langkawi. Ini kerana laluan bagi kategori Route 101 Legendary Ride merupakan inspirasi dari laluan acara Ironman Malaysia.” Ulas beliau lagi.

LADA berharap dengan penganjuran acara berbasikal ini, dapat mempromosikan Langkawi sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang sesuai untuk aktiviti riadah berbasikal bersama keluarga. Selain itu, kepelbagaian biodiversiti pulau ini merangkumi hutan batu kapur, hutan batu pasir, hutan granit dan paya bakau merupakan kelebihan unik yang dimiliki oleh Langkawi dan boleh diterokai oleh para penggemar sukan ini.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
24 Jun 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.