Langkawi, 12 September 2022– Kementerian Pengangkutan Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Pemegang Taruh Pulau Langkawi Bersempena Dengan Penganjuran Langkawi International Maritime & Aerospace Exhibition 2023 (LIMA 2023) bertempat di Aloft Hotel Langkawi. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Hanisan bin Hashim Abdullah, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa, Kementerian Pengangkutan Malaysia bersama pihak penganjur bersama LIMA 2023 iaitu Syarikat Alpine Integrated Solution Sdn Bhd.
Mesyuarat ini diadakan sebagai persediaan awal penganjuran pameran berprestij LIMA 2023 yang akan diadakan pada 23-27 Mei 2023. Salah satu pengisian mesyuarat tersebut adalah pameran produk dari usahawan tempatan Langkawi.
Seramai 14 usahawan Langkawi telah dijemput mengadakan pameran produk seperti Embun-Embun Langkawi, By Ash Majid, Langkawi Crystal Sdn. Bhd., Uniqcraft, Sentuhan Hyder, Ilham Ceramic Studio, Idea Craft & Wood dan Amanda Coffee Painting & Red Door Gallery. Manakala lain-lain produk makanan adalah seperti coklat buatan tangan Langkawi, biskut gamat, minyak kelapa dara, terapi resdung, makanan retort juga turut menyertai pameran ini.
Dengan berlangsungnya pameran bertaraf antarabangsa ini, impaknya pasti juga dapat dirasai oleh para usahawan untuk menonjolkan produk tempatan ke peringkat antarabangsa.