Langkawi, 20 Mac 2022 – Alternatif kepada pengurusan sampah yang cekap dan berinovasi bakal memanfaatkan komuniti Langkawi.
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan usaha sama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), National Institute of Biotechnology Malaysia (NIMB) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah melancarkan Program Bioremediasi Keluarga Malaysia pada hari ini sebagai langkah sokongan untuk mengurangkan sampah di Langkawi.
Projek rintis ini melibatkan komuniti dan lokasi Chandek Kura dengan penyertaan tidak kurang daripada 100 individu.
“LADA menyambut baik cadangan MOSTI serta rakan strategik lain bagi memulakan projek rintis bioremediasi di Langkawi. Kita bersedia menjadi pemudah cara bagi kerjasama dengan pengusaha hotel, persatuan penternak, pengilang makanan dan pelbagai pengusaha lain yang berkaitan. Penternakan lalat jenis askar hitam atau Black Soldier Fly (BSF) ini tidak asing lagi dalam bidang akuakultur dan ia boleh mengurangkan kos membeli makanan haiwan ternakan,” ujar YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.
Menariknya sisa pertanian dan domestik yang digunakan sebagai makanan larva BSF amat mudah didapati dari kilang, kebun buah dan sayur, hotel, restoran serta lokasi-lokasi lain di sekitar Langkawi. Pendapatan juga dapat ditingkatkan melalui jualan larva lalat sebagai bahan makanan untuk ternakan ayam, itik dan ikan.
“Inovasi ini merupakan cubaan pertama di Langkawi dan dijangka dapat meningkatkan pendapatan komuniti setempat. LADA akan membantu dalam mempromosikan produk berasaskan BSF seperti larva BSF dan baja kompos. Kita juga akan menyediakan kursus serta program pembangunan usahawan bagi memperkenalkan penternakan BSF kepada lebih ramai masyarakat tempatan,” jelas beliau semasa menyertai majlis pelancaran tersebut.
Majlis Pelancaran Program Bioremediasi Keluarga Malaysia di Langkawi ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).