Langkawi, 18 November 2021 – Kursus Latihan Penyediaan Kek Bajet dan Roti Viral anjuran LADA dengan kerjasama Pejabat KEMAS Daerah Langkawi telah diadakan pada 16 dan 17 November 2021 bertempat di Pusat Masakan KEMAS Daerah Langkawi.

Secara keseluruhan, kursus ini melibatkan 30 orang peserta yang terdiri daripada individu dan pengusaha di Langkawi yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Seramai 14 orang peserta terpilih bagi Kursus Latihan Penyediaan Kek Bajet manakala 16 orang peserta lagi terlibat dengan Kursus Latihan Penyediaan Roti Viral.

Objektif penganjuran kursus latihan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan sasaran dan membantu meningkatkan kemahiran mereka supaya golongan ini dapat menjana pendapatan bagi menampung keperluan harian serta mendepani cabaran situasi semasa. Pada akhir kursus latihan ini, kesemua peserta berjaya menghasilkan kek bajet dan roti viral yang boleh dijadikan contoh untuk dikomersialkan.

Latihan ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Rohaizad bin Rashid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA (Pengurusan). Turut hadir ialah Puan Nordiana binti Nordin, Pengurus Unit Khidmat Korporat (UKK) LADA, Puan Dayang Siti Naquiah binti Awang Mohammad, Pegawai KEMAS Langkawi dan Encik Mohd Shukri bin Ishak, Penolong Pegawai Tadbir UKK LADA.

Semoga usaha ini menjadi pendorong kepada bakal usahawan untuk terus bersemangat dalam memenuhi permintaan kepada penduduk Langkawi serta pelancong. Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang terlibat.

#KitaJagaLangkawi
#JomTambahIlmu
#LADA&UsahawanLangkawi
#DemiLangkawi