Langkawi, 9 April 2022 – Jelajah Ramadhan LADA di Langkawi bagi tahun 2022 telah mula diadakan hari ini dengan konsep menyantuni asnaf dan komuniti yang memerlukan.
Program ini merupakan gandingan kerjasama antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), anak syarikat serta syarikat bersekutu iaitu Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB), Langsura Sdn. Bhd. (LGSB) dan Langkawi Port Sdn. Bhd. (LPSB).
Lokasi pertama bagi jelajah Ramadhan kali ini ialah Masjid Al-Aman, Yooi, Langkawi. Objektif penganjuran program ini adalah untuk menyantuni golongan asnaf dan mengeratkan lagi silaturahim serta semangat kebersamaan antara keluarga LADA, anak syarikat, syarikat bersekutu serta komuniti setempat.
“Program Jelajah Ramadhan LADA ini akan dilaksanakan sebanyak tiga kali. Fokus utama program adalah bagi mewujudkan hubungan mesra antara LADA, anak syarikat dan komuniti setempat melalui program mengacau dan mengedar bubur lambuk, berbuka puasa, solat berjemaah dan penyaluran bantuan kepada golongan asnaf di mukim yang terlibat. Usaha ini akan diteruskan oleh LADA dari tahun ke tahun bagi memuliakan bulan Ramadhan di samping mengajak pihak lain untuk berinfak dalam bulan yang penuh kemuliaan dan menjanjikan ganjaran pahala yang besar ini,” ulas YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.
Program ini akan diteruskan di dua lagi lokasi selepas ini iaitu Masjid As-Sofiah, KEDA dan Masjid Ar-Rahman, Kedawang, masing-masing pada 17 dan 21 April 2022. Penglibatan ahli kariah setiap masjid amat menggalakkan, justeru mencerminkan kerjasama yang utuh antara agensi kerajaan dan penduduk setempat.
“Alhamdulillah, seramai 96 orang asnaf akan menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barang keperluan bernilai sekitar RM150.00 sepanjang program ini berlangsung. Sumbangan yang dihulurkan ini diharap dapat meringankan beban keluarga yang terlibat sempena bulan Ramadhan dan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi,” tambah YBrs. Tuan Nasaruddin.
Pada tahun ini, sekali lagi LADA menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik penyiaran iaitu pihak RTM Langkawi dalam menjayakan salah satu siri program ini. Kerjasama sedemikian dapat memupuk silaturahim yang baik antara agensi kerajaan di pulau ini dalam menyantuni penduduk Langkawi.