Langkawi, 24 November 2021 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi (PPD), Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB), Langkawi Port Sdn. Bhd. (LPSB) dan Langsura Geopark Sdn. Bhd. (LGSB) telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Langkawi (A-KAWI) Tahun 2021 pada 24 November 2021 di Bayview Hotel, Kuah.

Program tahunan yang diadakan ini bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar-pelajar cemerlang di Langkawi dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 2020 yang lalu.

Seramai 66 orang individu yang terdiri daripada 38 orang pelajar SPM dan 28 orang pelajar STPM dari seluruh Langkawi telah menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM200 sumbangan LADA bagi setiap seorang. Selain itu, para penyandang Anugerah Pelajar Terbaik SPM, saudari Nur Aishah binti Zakaria dan Anugerah Pelajar Terbaik STPM, saudara Mohamad Hafiz bin Zamzuri masing-masing telah menerima hadiah komputer riba sumbangan PLSB dan LGSB. Turut menerima anugerah dan hadiah tablet elektronik sumbangan LGSB ialah saudari Miftahul Zaira binti Mohammad Zairi bagi kategori Anugerah Khas Pelajar Cemerlang Ko-Kurikulum.

Majlis perasmian dan penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA. Turut menghadiri majlis tersebut ialah Encik Azhari bin Abdul Rashid, Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi. Semoga penganjuran Majlis A-KAWI ini akan menyuntik semangat pelajar-pelajar di Pulau Langkawi untuk menggapai kejayaan dalam bidang akademik dan ko-kurikulum.