Langkawi, 28 Mac 2022 – Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melaksanakan projek berkonsepkan pertanian melalui LADA-PLSB Farm iaitu salah satu inisiatif di bawah Projek Ekonomi Baru (PEB), Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) bagi memperkasakan ekonomi komuniti setempat.

Projek tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran fasa kedua ini diteruskan dengan menaik taraf LADA-PLSB Farm melalui pembinaan dua struktur perlindungan hujan bersaiz 40 x 80 kaki dan 20 x 20 kaki, pagar elektrik dan penanaman buah Golden Melon yang bernilai tinggi yang akan dilaksanakan secara berperingkat. Seramai empat orang peserta telah menjayakan projek tanaman di sini dan akan mengusahakan penanaman Golden Melon menggunakan sistem fertigasi.

“Syukur alhamdullilah, kerja menaik taraf LADA-PLSB Farm yang bermula pada 22 Mac 2022 ini telah siap sepenuhnya pada hari ini. SPH merupakan struktur bumbung yang melindungi tanaman di bawahnya daripada hujan lebat dan pancaran cahaya matahari. Struktur ini juga berfungsi mengelakkan tanaman daripada menjadi terlalu cepat layu selain melindunginya daripada terkena jangkitan penyakit terutamanya semasa musim hujan,” ujar YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.

Dianggarkan para peserta bakal menuai hasil Golden Melon sebanyak 1,105 kg dan dapat menjana pendapatan sebanyak RM 16,575.00 bagi tempoh dua bulan. Kos pembinaan dan naik taraf LADA-PLSB Farm ini berjumlah RM119,000.00 dengan RM 39,000.00 disumbangkan oleh PLSB dan baki sebanyak RM80,000.00 adalah daripada LADA.

PLSB dan LADA berharap agar projek naik taraf ini akan memberi manfaat ekonomi kepada para peserta PEB HELANG untuk meningkatkan pendapatan melalui penanaman Golden Melon. Selain itu, LADA-PLSB Farm juga boleh dijadikan sebagai salah satu pusat pembelajaran dan latihan kepada pelbagai pihak yang berminat untuk mempelajari kaedah penanaman baka tembikai susu ini dan pertanian tanaman kontan bebas racun yang sedia dilaksanakan di ladang ini.