Langkawi, 13 Disember 2021 – LADA telah menyalurkan insentif bantuan perniagaan Projek Ekonomi Baru (PEB) di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) kepada komuniti tempatan di Langkawi. Jalinan kerjasama antara LADA dan syarikat DXN Agrotech Sdn. Bhd., telah menghasilkan peluang ekonomi baru melalui projek penternakan lobster air tawar (LAT) dan projek tanaman cendawan tiram. Insentif ini diwujudkan untuk membantu mengurangkan beban dan menjana pendapatan sampingan komuniti Langkawi.

Seramai 29 orang peserta menerima bantuan perniagaan set penternakan LAT dengan nilai RM2,000.00 setiap seorang. Peserta akan memperoleh satu set kolam ternakan, pam udara dan anak benih LAT berjumlah 500 ekor. Bantuan berupa 11 buah rumah cendawan berserta 4,000 unit bongkah benih cendawan tiram pula diserahkan kepada 18 orang penerima dan dua buah Maahad Tahfiz di Langkawi iaitu Maahad Tahfiz Darul Amar dan Pusat Pengajian Tarbiyatul Auladiyah.

YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA berkata, “Usaha ini telah mula dilaksanakan sejak 1 Julai 2020 melalui projek penanaman cendawan tiram. Projek ini telah menghasilkan tuaian sebanyak 1,173 kilogram sehingga Disember 2021 dan jumlah kutipan hasil jualan sebanyak RM15,245.00. Bagi projek penternakan LAT yang telah dimulakan pada 4 Mac 2021 lalu, dijangkakan pendapatan sebanyak RM5,600.00 mampu dijana pada tuaian pertama setelah LAT mencapai saiz matang antara enam hingga lapan inci seekor dengan purata berat 56 kilogram bagi satu kolam. Melihat hasil dan maklum balas ke atas kedua-dua projek ini, LADA bersetuju insentif ini diperkasakan lagi dengan penyaluran bantuan sebanyak RM136,400.00 pada kali ini.”

Bagi memastikan kesemua usahawan ini dapat memulakan perniagaan dengan asas pengetahuan dan kemahiran yang tepat, DXN Agrotech Sdn. Bhd. akan membantu memberikan latihan dan bimbingan kepada peserta sepanjang tempoh program ini dilaksanakan. Semoga usahawan kecil Langkawi dapat meneruskan perjuangan dan berjaya mengembangkan perniagaan mereka sehingga ke peringkat antarabangsa kelak.

#ProjekEkonomiBaru
#HELANG
#UsahawanLangkawi
#LobsterAirTawar
#CendawanTiram
#LangkawiBangkit