Langkawi, 15 Mac 2022 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menyalurkan bantuan perniagaan kepada pengusaha tanaman kontan dan tahunan KEDA di Wang Tok Rendong Langkawi, Encik Mohamad Riduwan bin Halim dan Encik Muhamad Shahrizal Ismail melalui pembelian alatan pertanian seperti pam air, tangki air dan paip poly. Penyerahan alatan pertanian ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Wan Kamarul Faisal bin Wan Kamardin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) LADA. Bantuan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Pembukaan Peluang Ekonomi Baru di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi dalam membantu usahawan agro Langkawi yang terkesan dengan wabak COVID-19.

Bantuan alatan pertanian ini diharapkan akan dapat mengatasi masalah bekalan dan tekanan air yang dihadapi sebelum ini. Antara tanaman kontan yang diusahakan di ladang berkeluasan 4.5 ekar tersebut termasuklah kacang bendi, jagung, betik, dan tebu. Tanaman tahunan pula terdiri daripada pokok durian, manga dan cempedak. Hasil pertanian tersebut dijual di pasar ikan dan kepada peraih runcit di sekitar Langkawi.

Semoga alatan pertanian ini akan dapat meningkatkan lagi hasil tanaman yang diusahakan oleh usahawan agro KEDA Wang Tok Rendong, seterusnya meningkatkan lagi hasil jualan tanaman kontan dan tahunan mereka.

#LangkawiBangkit
#UsahawanLangkawi
#ProjekEkonomiBaru
#PEB
#HELANG
#LADA
#KitaJagaLangkawi
#DemiLangkawi
#OrangLangkawi
#LangkawiLuarBiasa
#AgroLangkawi
#PertanianLangkawi