Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Langkawi UNESCO Global Geopark.

Selamat datang diucapkan kepada semua pengunjung Portal Rasmi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). LADA telah mencapai usia penubuhan 31 tahun pada 15 Mac 2021 dan dalam tempoh ini juga LADA bertindak sebagai agensi peneraju utama kepada pembangunan dan pelancongan di Langkawi.

Detik mencabar mula menerjah kehidupan masyarakat dalam segala aspek kehidupan dengan penularan wabak COVID-19. Langkawi turut menerima kesan besar daripada bencana perebakan virus ini sehingga menjejaskan kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa ke pulau legenda Mahsuri.

Hampir 70% aktiviti ekonomi pulau ini bergantung kepada industri pelancongan. Keadaan yang dihadapi sekarang menyebabkan ekonomi Langkawi mengalami kemerosotan, lantas memberikan impak negatif terhadap masyarakat setempat. Impak ini boleh dilihat melalui penurunan drastik ke atas statistik kedatangan pelancong iaitu sebanyak 46% pada tahun 2020 dengan jumlah pelancong sekadar 1.8 juta sahaja berbanding 3.92 juta pada tahun sebelumnya.

Melihat pada kenyataan ini, pelbagai persediaan perlu dirangka bagi memastikan Langkawi bersedia mencari alternatif baru untuk merancakkan semula ekonomi seterusnya memperkasakan semula sektor pelancongan pulau ini setelah situasi kembali pulih. Sebagai agensi Kerajaan Persekutuan di Langkawi, LADA juga sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada komuniti yang terkesan daripada wabak COVID-19. Pendekatan secara holistik yang telah mula dilaksanakan akan diteruskan melalui inisiatif yang terkandung dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG). Usaha-usaha ini adalah bertujuan untuk memberikan nilai tambah seterusnya mempersiapkan komuniti setempat ke arah pemerkasaan ekonomi baru dengan peluang dan kaedah terkini. Kepelbagaian sumber ekonomi dan punca baru pendapatan dilihat dapat memberikan pulangan baik dan memberi hasil kepada masyarakat setempat.

Selaras dengan itu, LADA juga berusaha membangunkan Pelan Strategik 2021-2025 bagi tempoh lima (5) tahun. Penghasilan pelan strategik ini bakal menjadi komitmen berterusan LADA untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik seterusnya menyejahterakan pulau ini.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 dengan penghayatan dan pembudayaan norma baharu. LADA akan sentiasa menyokong usaha murni semua pihak untuk mengembalikan semula kegemilangan sektor pelancongan pulau ini demi kemakmuran bersama.