Perjalanan ke Puncak Gunung Machinchang menaiki Kereta Kabel Langkawi yang lebih dikenali dengan nama Langkawi SkyCab merupakan satu pengalaman yang menakjubkan. Gunung Machinchang merupakan gunung yang berusia 550 juta tahun dan ianya adalah yang tertua di Asia Tenggara. Langkawi SkyCab akan memberi anda pengalaman yang unik dimana bukan sahaja anda dapat menikmati kecantikan pemandangan gunung malah dapat melihat pelbagai jenis flora dan fauna yang terdapat di sini yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata tanpa mengalaminya sendiri.
Bermula dari Stesen Bawah yang terletak di kaki Gunung Machinchang, pengunjung akan dibawa ke Stesen Tengah Machinchang yang sejuk dan nyaman sebelum meneruskan pengalaman ke Stesen Atas. Jarak perjalanan dari Stesen Bawah ke Stesen Tengah adalah 1,700 meter yang mengambil masa selama 13 minit. Setelah sampai ke Stesen Tengah pada ketinggian 650m dari paras laut, pengunjung dapat berjalan ke Viewing Platform untuk menyaksikan pemandangan 360 darjah yang sangat menakjubkan. Pengunjung berpeluang menikmati pemandangan panorama dari sebahagian Pulau Langkawi serta banyak pulau-pulau di sekitarnya.
Setelah sampai ke Stesen Atas di ketinggian 708m dari paras laut pengunjung dapat melawat dua Viewing Platform yang terletak di puncak Gunung Machinchang. Di puncak Gunung Machinchang pengunjung dapat melihat pemandangan seluas mata memandang, bentuk geologi Gunung yang unik dan puncak menara batu serta dapat melihat pulau-pulau di sekitar Langkawi termasuklah Pulau-pulau di Selatan Thailand. Monumen semulajadi seperti ini jarang dapat dilihat di tempat lain kecuali di Langkawi dan di Puncak Gunung Machinchang khasnya.
Waktu Operasi: 9.30 pagi – 7.00 Petang
Lokasi: Kaki Gunung Machinchang