Seramai 1,500 orang atlet triatlon menyertai acara triatlon berprestij IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi 2022. Antara tarikan kepada peserta IRONMAN Langkawi kali ini adalah tawaran 55 slot kelayakan ke Kejohanan Dunia VinFast IRONMAN 2023 di Kailua-Kona, Hawaii dan 30 tiket ke Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 VinFast di Lahti, Finland.

Tahun ini menyaksikan penglibatan 54 buah negara dengan penyertaan tertinggi adalah dari negara Malaysia berjumlah 631 penyertaan diikuti oleh negara Jepun dan Singapura dengan 120 penyertaan dan 91 penyertaan. Pada tahun ini, sekali lagi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjadi rakan kolaborasi dan menjalinkan kerjasama dengan World Endurance Malaysia Sdn. Bhd. bagi menganjurkan acara triatlon ini.

Selain itu, acara ini juga melibatkan penglibatan tertinggi daripada komuniti setempat dengan 1,050 orang petugas sukarelawan yang bertugas sepanjang acara ini berlangsung.

Melalui penganjuran acara ternama seperti ini, adalah diharapkan agar pemulihan industri pelancongan Langkawi akan lebih cepat dari yang dijangkakan. Pada tahun ini, LADA mensasarkan kedatangan pelancong seramai 2.5 juta orang berbanding 3.92 juta pelancong pada tahun 2019.