Langkawi, 30 Oktober 2022 – Menghargai anak-anak atau pelajar cemerlang di Langkawi merupakan salah satu inisiatif yang diterokai oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). LADA dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi telah menjalin kolaborasi bersama Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB), Langsura Geopark Sdn Bhd (LGSB) dan Langkawi Port Sdn Bhd (LPSB) bagi menjayakan Anugerah Kecemerlangan Pelajar (A-KAWI) bertempat di Ballroom, Hotel Bayview Langkawi pada malam ini. Anugerah ini direka khas bagi memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama persekolahan.

Pada tahun ini, seramai 63 orang pelajar cemerlang yang terdiri daripada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari lapan (8) buah sekolah menengah di Langkawi.

“Program A-KAWI ini yang telah memasuki tahun kesembilan (9) penganjuran diharapkan akan terus menjadi motivasi kepada pelajar untuk terus berjaya dan cemerlang pada masa akan datang. Program ini merupakan salah satu cara LADA menabur bakti kepada komuniti Langkawi melalui teras strategik keempat iaitu pembangunan komuniti yang progresif dan dinamik sebagaimana yang terkandung di dalam Pelan Strategik LADA 2022 – 2026. Kita mahu melihat anak-anak Langkawi berjaya di dalam pelbagai bidang dan membawa nama ke peringkat yang lebih tinggi, seterusnya mengharumkan nama Langkawi ke persada dunia.” kata Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.

Dalam majlis yang sama juga, empat (4) buah sekolah turut dinobatkan bagi kategori Anugerah Khas iaitu Maktab Mahmud Langkawi (Sekolah Menengah Terbaik SPM), Sekolah Menengah Tunku Putera (Sekolah Menengah Terbaik STPM), Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi (Lonjakan Perdana Sekolah Menengah Terbaik SPM). Selain itu, pada tahun ini Anugerah Pelajar Terbaik (keseluruhan) telah dianugerahkan kepada adik Rukiah Binti Abdul Rahmad dari SMK Tunku Putera bagi peperiksaan STPM dan bagi peperiksaan SPM pula disandang oleh adik Dayana Najdah binti Fauzi dari Maktab Mahmud Langkawi.

“LADA sentiasa memandang serius terhadap pembangunan modal insan dan sosial di Langkawi. Sehingga Oktober 2022, lebih kurang RM200 ribu telah dibelanjakan bagi lima (5) program pendidikan dan pembangunan pelajar bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan 18 program yang telah dijalankan bersama sekolah di Langkawi di bawah teras Kebajikan dan Perpaduan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LADA.” tambah beliau ketika ditemui di dalam Majlis A-KAWI 2022 semalam.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
30 Oktober 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.