Lembaga Pembangunan Langkawi telah menyumbangkan penggunaan Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Langkawi (KSL) yang juga aset milik agensi tersebut sebagai salah satu pusat pemberian vaksin (PPV) bagi penduduk pulau ini. Hal ini dilaksanakan bagi mendukung dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk membuka kembali Langkawi sebagai destinasi pelancongan selamat dalam masa yang terdekat.
Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di PPV KSL ini telah bermula sekitar awal Mei 2021. Melalui seliaan Jawatankuasa Induk iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, program ini berjalan lancar dengan bantuan penuh beberapa agensi kerajaan lain di Langkawi yang terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Balai Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat RELA Daerah dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Sehingga 9 Ogos 2021, PPV KSL ini beroperasi secara optimum seawal 8.30 pagi dan berakhir selewat 5.00 petang. Selain pemberian suntikan vaksin, antara kerja-kerja utama lain yang dilaksanakan pada setiap hari operasi termasuklah persiapan tempat yang melibatkan kerja pembersihan dewan dan persekitaran. Dewan Serbaguna ini juga disanitasi oleh pihak bomba pada setiap hari setelah program selesai bagi memastikan lokasi PPV tersebut kekal bersih dan selamat daripada penularan wabak COVID-19.
Anggaran jumlah vaksinasi yang diberikan dari 4 Mei hingga 9 Ogos 2021 adalah sekitar 180 hingga 1002 dos suntikan sehari yang merangkumi pemberian dos pertama dan kedua vaksin Pfizer serta Sinovac. Dengan jumlah keseluruhan melebihi 30,000 dos suntikan sepanjang tempoh tersebut, Langkawi telah berjaya mendahului kedudukan peratusan pemberian vaksin negeri Kedah buat masa ini.
Bermula 12 Ogos 2021, PPV KSL beroperasi khusus bagi penduduk Langkawi yang layak tetapi masih belum menerima dos suntikan vaksin atau tercicir dos suntikan kedua. Kumpulan ini dibenarkan hadir secara “walk in” pada 12 dan 19 Ogos serta 2, 9 dan 23 September 2021 dengan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan bukti menetap di Langkawi.
Semoga sumbangan PPV ini dapat membantu mempercepatkan pencapaian matlamat imuniti kelompok di Langkawi, justeru membuka kembali sektor pelancongan yang juga merupakan nadi utama pulau legenda ini.