Dubai, 31 Disember 2021 – Langkawi telah menyertai Ecotourism Week @ Malaysia Pavilion di Expo 2020 Dubai bersama pihak Tourism Malaysia dari 26 hingga 31 Disember 2021. Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB), naturalis Langkawi dan ejen pelancongan Morahols Travel Sdn. Bhd. telah berganding bahu mempromosikan Langkawi di ekspo pelancongan terkemuka dunia ini.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang minggu tersebut seperti demonstrasi batik Langkawi dan pertunjukan fesyen oleh Jafiqa Couture Batik Langkawi, demonstrasi origami daun kelapa, aktiviti ‘fun photography’, mesyuarat B2B (business-to-business) bersama agensi pelancongan antarabangsa dan program Langkawi Day.

Beberapa wakil media antarabangsa seperti TV News Media, Trav Talk Media, Asian News Trends, Global Trend Monitor dan Expo TV 1 telah menemu ramah LADA dan menyiarkan tentang Langkawi di platform masing-masing.

LADA juga menjalankan kolaborasi bersama Dubai Tourism, syarikat penerbangan dan beberapa agensi pelancongan antarabangsa untuk membawa masuk pelancong dari Timur Tengah. Potensi bagi mengembalikan penerbangan antarabangsa juga dibincangkan bersama pelbagai pihak sepanjang berlangsungnya Ecotourism Week ini.

LADA turut menjadi pusat rujukan bagi The Royal Commission for AlUla (RCU) bagi perkongsian maklumat tentang pentadbiran dan kaedah mempromosikan geopark Langkawi.

#NaturallyLangkawi
#EcotourismWeek
#MalaysiaPavilion
#Expo2020Dubai
#LUGGp
#LADA