Langkawi, 15 Januari 2022 – Langkawi International Folding Bike Festival (LIFBF) 2022 merupakan acara pelancongan pertama pada tahun ini yang dianjurkan oleh Langkawi Tourism Association (LTA) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Penganjuran acara yang turut mendapat sokongan pelbagai agensi serta jabatan di Langkawi ini telah berjaya menarik penyertaan dari seluruh Malaysia serta negara jiran Singapura, Indonesia dan Thailand.
Acara ini berlangsung selama dua hari iaitu pada 15 dan 16 Januari 2022 di Dataran Chenang, Langkawi. Acara ini dianjurkan untuk menggalakkan orang ramai menyertai aktiviti berbasikal bersama keluarga. Acara utama yang menjadi tarikan ialah kayuhan santai (Fun Ride) sejauh 30 kilometer. Menerusi laluan ini, peserta dapat merentasi kawasan desa dan sawah padi, selain turut disajikan dengan pemandangan indah dan hijau memukau di sekitar Kampung Kedawang dan Kampung Bohor Cantik, Langkawi. Di samping itu, acara ini juga bertujuan mempromosikan Langkawi sebagai destinasi penganjuran acara atau aktiviti berbasikal melalui Langkawi Cyclotourism Trail yang telah dilancarkan pada tahun lepas. Selain itu, festival ini turut dimeriahkan dengan aktiviti pameran dan jualan aksesori basikal.
Melalui kerjasama antara LTA, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Pejabat Belia dan Sukan Langkawi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, acara ini dianjurkan dengan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kawalan keselamatan turut diutamakan bagi memastikan acara tersebut berlangsung dengan lancar.