Langkawi, 1 April 2022 – Penerbangan pesawat jenis Boeing 737-800 milik syarikat Scoot Air dengan kapasiti penumpang sebanyak 180 orang adalah antara yang pertama membawa pelancong dari Singapura ke Langkawi sejurus pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022.
Pengumuman oleh Perdana Menteri bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa baru-baru ini membawa kelegaan besar kepada seluruh industri pelancongan negara. Kebenaran merentas sempadan antarabangsa bagi individu yang telah menerima vaksin lengkap bukan sahaja mampu merancakkan kembali aktiviti pelancongan, malah turut sama menghidupkan aktiviti-aktiviti dalam pelbagai sektor lain.
“Langkawi menyasarkan ketibaan seramai 2.2 juta orang pelancong pada tahun ini. Pelbagai acara berimpak tinggi telah dirancang bagi merancakkan kembali aktiviti pelancongan pulau ini seperti IRONMAN Malaysia Langkawi, Le Tour de Langkawi, Langkawi International Beach Soccer dan ASEAN International Course on UNESCO Geopark.
Di samping itu, Langkawi turut menawarkan produk pelancongan terkini seperti Splash Out, Perdana Quay Eco Marine Park dan Menara MAHA yang dijangka akan menjadi daya penarik baru kepada pelancong yang berkunjung ke sini. Malah, pembukaan dua buah hotel baharu iaitu Mercure Langkawi dan Park Royal Langkawi diharapkan mampu menarik kumpulan pelancong mewah (high-end tourists) ke Langkawi, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan sektor pelancongan pulau ini,” kata YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA semasa ditemui media ketika majlis sambutan bersempena pembukaan sempadan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
“LADA amat berharap agar dalam suku tahun ketiga tahun ini, Langkawi akan menerima para pelancong dari negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Kuwait. Kita turut menyasarkan kehadiran pelancong dari benua Eropah seperti United Kingdom, Jerman, Perancis dan Switzerland pada bulan November dan Disember 2022,” ujar beliau lagi.
Pada majlis yang sama, Encik Manoharan Periasamy, Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika) Tourism Malaysia (TM) menyatakan aktiviti promosi sedang rancak dijalankan dalam pelbagai pasaran utama di seluruh dunia. TM turut giat bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa dalam menyediakan penerbangan terus ke Malaysia. Selain itu, kerjasama pintar bersama pengusaha serta industri pelancongan tempatan dan antarabangsa turut diperkasakan dalam memastikan destinasi-destinasi pelancongan di serata Malaysia terus menjadi pilihan utama buat para pelancong antarabangsa.