Langkawi, 20 Mei 2022 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama Tourism Malaysia telah menyertai pameran pelancongan terbesar di India iaitu South Asia’s Travel & Tourism Exchange (SATTE) di New Delhi. Acara yang berlangsung selama tiga hari mulai 18 hingga 20 Mei 2022 tersebut dianjurkan bagi menarik pelancong dari India untuk berkunjung kembali ke Malaysia setelah pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022 yang amat dinanti-nantikan.
Bagi penganjuran SATTE pada tahun ini, LADA berhasrat untuk memperkenalkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan pilihan dan memupuk keyakinan dalam kalangan pelancong India bahawa pulau legenda ini adalah selamat untuk kembali dikunjungi.
Dengan anggaran lebih daripada 35,000 orang pengunjung yang hadir ke pesta ini, jumlah kedatangan pelancong India ke Malaysia juga dijangka bakal menunjukkan peningkatan yang ketara. Hal ini justeru akan menggalakkan jalinan kerjasama yang lebih erat dan kukuh antara pengendali dan pemain industri pelancongan.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh Sandhu, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia. Delegasi ini dianggotai oleh 15 orang ejen pelancongan, tiga pengendali syarikat penerbangan dan satu lembaga pelancongan negeri iaitu LADA serta beberapa pegawai dari Tourism Malaysia.
Malaysia telah membuka sempadannya untuk pelancongan bebas kuarantin dan mengalu-alukan kedatangan para pelancong antarabangsa yang telah lengkap divaksin. Mulai 1 Mei 2022, pelancong yang bakal masuk dan telah lengkap vaksinasi tidak lagi perlu menjalani ujian COVID-19 sebelum perlepasan dan selepas ketibaan, termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.