Langkawi, 24 Mei 2022 – Langkawi berjaya mencatat rekod baru dalam Malaysia Book of Records melalui pengiktirafan ‘The Longest Distance Covered in a Go-Kart in a Day’ di litar MORAC Adventure Park hari ini.
Acara pemanduan go-kart ini dilaksanakan selama 24 jam mulai 11.00 pagi 23 Mei hingga 11.00 pagi 24 Mei 2022 melalui kerjasama antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan pihak pengurusan MORAC Adventure Park.
Menyambut baik penganjuran aktiviti tersebut, LADA berharap lebih banyak pihak swasta dan NGO akan turut serta dalam memeriahkan acara sukan permotoran sebegini pada masa hadapan.
“Hari ini, Langkawi melakar nama dalam The Malaysia Book of Records melalui acara sukan permotoran dengan mencatatkan jarak pemanduan go-kart paling panjang dalam tempoh 24 jam iaitu sejauh 1,110.35 km dalam 894 pusingan. Rekod ini telah dicipta oleh pelumba Praveent Chelvam, 31 tahun dengan rekod pengalaman selama 15 tahun dalam bidang sukan permotoran. Inisiatif ini diharapkan dapat menyuntik semangat lebih banyak pihak untuk terus menganjurkan acara pelancongan di Langkawi,” kata YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA semasa menghadiri Majlis Penerimaan Sijil Malaysia Book of Records di litar MORAC Adventure Park.
Program ini juga dilaksanakan bagi mempromosikan litar MORAC Adventure Park sebagai salah satu daripada litar go-kart terbaik di Malaysia. Usaha ini secara tidak langsung akan dapat menarik lebih ramai peminat sukan pemotoran untuk berkunjung ke Langkawi. MORAC Adventure Park turut menjadi pilihan dalam penganjuran beberapa kejohanan besar seperti Rotax MAX Challenge Malaysia 2022 dan Go Langkawi 6Hr Endurance Race 2022 yang dijadualkan berlangsung pada hujung tahun ini.
LADA telah merancang untuk melaksanakan pelbagai acara sukan pada tahun ini bagi merancakkan dan memeriahkan kembali industri pelancongan di Langkawi. Antaranya termasuklah Langkawi International Beach Soccer (16-18 September), 8th World Carom Championship 2022 (3-7 Oktober), Langkawi International Tug of War (LITOW) 2022 (13-16 Oktober) dan Langkawi Swimming Fest 2022 (4 Disember). Dalam tahun ini juga, dua acara sukan yang sinonim dengan Langkawi iaitu Le Tour De Langkawi dan Ironman Malaysia akan kembali dianjurkan setelah negara beralih ke fasa endemik.