Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mengambil bahagian dalam Pasaran Pelancongan Sedunia (WTM) edisi tahun ini, yang berlangsung di London dari 7 hingga 9 November 2022 bagi membuka peluang perniagaan untuk pelancongan profesional masuk dan keluar. Acara ini juga menjadi platform untuk LADA melancarkan slogan baharu, ‘99 Magical Islands in the Sun’ dan video promosi untuk Langkawi.
Untuk menarik lebih ramai pelancong melawat pulau ini, Panorama Langkawi, juga dikenali sebagai Langkawi SkyCab, yang menyambut ulang tahun ke-20 pada bulan September akan bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk menawarkan ‘Bonus Side Trip’. Tawaran ini akan memberi peluang kepada pelancong untuk mendapatkan tiket domestik percuma dengan pembelian mana-mana laluan antarabangsa ke Malaysia. Tambahan kepada tawaran menarik itu, LADA juga akan menambah tiket masuk percuma ke SkyCab bagi tiket domestik mulai 1 November 2022. Tarikan ikonik ini adalah antara laluan kereta kabel yg tercuram di dunia. Pada ketinggian 708 meter dari paras laut, pengunjung dapat menikmati pemandangan panorama seluruh pulau yang menarik dari sudut 360 darjah.
Bagi menambah daya tarikan Langkawi, LADA telah memperkenalkan Insentif Program Penerbangan Sewaan Khas Langkawi untuk menggalakkan lebih banyak kemasukan penerbangan sewaan khas. Ia juga memenuhi keperluan syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan penerbangan sewaan khas ke Pulau Langkawi, dengan memberikan keutamaan kepada pelanggan yang terawal. Selain itu, Langkawi juga merupakan destinasi pilihan untuk aktiviti ‘MICE’ (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran). Sehingga suku ketiga 2022, seramai hampir 5,000 peserta telah menjalankan aktiviti di sini.