Langkawi, 15 Januari 2022 – Langkawi International Folding Bike (LIFB) 2022 merupakan acara pelancongan pertama pada tahun ini yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Langkawi Tourism Association (LTA) dengan sokongan agensi/jabatan di Langkawi. Acara ini telah berjaya menarik 670 penyertaan daripada seluruh negara termasuk dari negara jiran Singapura, Indonesia dan juga Thailand.

Acara ini akan berlangsung selama dua (2) hari bermula 15 sehingga 16 Januari 2022 di Dataran Chenang, Langkawi. Objektif penganjuran acara ini adalah untuk mempromosikan aktiviti berbasikal bersama keluarga. Acara utama yang menjadi daya penarik acara ini ialah kayuhan santai (Fun Ride) sejauh 30 kilometer yang akan melalui kawasan kampung dan juga sawah padi di sekitar Kampung Kedawang dan Kampung Bohor Cantik, Langkawi. Selain itu, acara ini juga turut dimeriahkan dengan pengllibatan pameran dan jualan peralatan hiasan basikal.

Penganjuran acara ini tidak membelakangkan aspek keselamatan yang mana LTA menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Pejabat Belia dan Sukan Langkawi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi bagi memastikan kejohanan ini berlangsung berlandaskan garis panduan, SOP dan kawalan keselamatan yang telah ditetapkan.

YBrs. Tuan Wan Kamarul Faisal bin Wan Kamardin,Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA berkata, “Berkonsepkan kayuhan santai yang menelusuri laluan sepanjang 30km, peserta akan disajikan dengan pemandangan kampung di Langkawi serta hamparan sawah padi pasti akan mencuri perhatian ‘peserta bandar’. Di samping itu, acara ini juga bertujuan mempromosi Langkawi sebagai destinasi penganjuran acara atau aktiviti berbasikal melalui Langkawi Cyclotourism Trail yang telah dilancarkan pada tahun lepas.”

Sektor ekonomi Langkawi kembali bernafas semula mulai September 2021 setelah berhadapan dengan kesukaran akibat larangan rentas negeri lanjutan penularan wabak COVID-19 sebelum ini.

“Jumlah kemasukan pelancong pada tahun 2021 ialah seramai 1.07 juta orang dengan jumlah pendapatan pelancongan yang telah dijana adalah sebanyak RM750juta. Lonjakan jumlah kemasukan pelancong ke Langkawi ini berlaku hasil daripada Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik yang dilancarkan pada 16 September 2021. Seramai 0.72 juta orang pelancong dicatatkan telah melancong ke Langkawi bermula dari tempoh tersebut sehingga 31 Disember 2021. Pencapaian tertinggi adalah pada bulan Disember dengan yang mana kehadiran pelancong mencecah 297 ribu orang melebihi sasaran awal 250 ribu yang ditetapkan.” Ulas beliau semasa menghadiri pelepasan acara ini.

Bagi tahun 2022, LADA telah menerima hampir 24 cadangan acara untuk dianjurkan pada tahun ini. Antaranya ialah Ironman Langkawi, Langkawi Geopark Enduro Challenge, Legendary Ride, Viper Challenge dan pelbagai lagi acara lain. LADA berharap penganjuran acara ini dapat diteruskan bagi mengembalikan kerancakan industri pelancongan di Langkawi. Di samping itu, acara-acara ini juga akan membantu memberi limpahan ekonomi kepada komuniti Langkawi seterusnya turut mempromosikan semula pulau ini secara tidak langsung melalui liputan media sama ada secara tempatan atau antarabangsa.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
15 Januari 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.