Langkawi, 1 April 2022 – Penerbangan pesawat jenis Boeing 737-800 milik syarikat Scoot Air dengan kapasiti penumpang sebanyak 180 orang antara yang pertama membawa pelancong dari Singapura ke Langkawi.

Pengumuman oleh Perdana Menteri bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022 ini membawa kelegaan besar kepada industri pelancongan. Kebenaran merentas sempadan antarabangsa bagi individu yang telah menerima vaksin lengkap bukan sahaja mampu merancakkan kembali aktiviti pelancongan, malah turut sama menghidupkan aktiviti-aktiviti pelbagai sektor lain.

“Langkawi menyasarkan ketibaan seramai 2.2 juta orang pelancong pada tahun ini. Pelbagai acara berimpak tinggi telah dirancang bagi merancakkan kembali aktiviti pelancongan pulau ini seperti IRONMAN Malaysia Langkawi, Langkawi International Beach Soccer dan ASEAN International Course on UNESCO Geopark.

Di samping itu, Langkawi turut menawarkan produk pelancongan terkini seperti Splash Out, Perdana Quay Eco Marine Park dan Menara MAHA yang dijangka akan menjadi daya penarik baru kepada pelancong yang berkunjung ke sini. Malah, pembukaan dua buah hotel baharu iaitu Mercure Langkawi dan Park Royal Langkawi diharapkan mampu menarik kumpulan pelancong mewah (high-end tourists) ke Langkawi, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan sektor pelancongan pulau ini.” kata Nassaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA semasa ditemui media pada hari ini.

Pihak Tourism Malaysia (TM) juga akan menambah baik aktiviti-aktiviti promosi pada peringkat domestik dan antarabangsa. Selain itu, TM juga berharap agar dapat bekerjasama dengan pemain-pemain industri seperti pengusaha-pengusaha syarikat penerbangan, pelancongan dan produk pelancongan.

“LADA amat berharap agar dalam suku tahun ketiga tahun ini, Langkawi akan menerima para pelancong dari negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Kuwait. Kita turut menyasarkan kehadiran pelancong dari benua Eropah seperti United Kingdom, Jerman, Perancis dan Switzerland pada bulan November dan Disember 2022,” ujar beliau lagi.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
1 April 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.