Langkawi, 3 Jun 2022 – Bersempena Sambutan Hari Basikal Sedunia yang disambut pada 3 Jun 2022, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menganjurkan Program Kayuhan Santai – Hello Environment Siri 2/2022 bagi menyantuni alam sekitar di Langkawi dengan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di sepanjang laluan aktiviti berbasikal berlangsung.

LADA telah mempelbagaikan pendekatan bagi memastikan penerapan nilai sayangkan alam sekitar di kalangan komuniti tempatan. Salah satu inisiatif yang telah diperkenalkan ialah Program Konservasi Geopark Menyantuni Alam 2022 atau lebih dikenali sebagai Hello Environment. Inisiatif ini mempunyai tiga (3) program utama yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini (2022) iaitu Program Kayuhan Santai Alam, Program GeoCoral/Marine dan Program Ekspedisi Pendakian Gunung/GeoHiking.

Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berkata, “Langkawi amat sinonim dengan aktiviti berbasikal, malah penganjuran acara pelancongan berasaskan sukan basikal (sport tourism) seperti Le Tour de Langkawi (LTdL), Langkawi Legendary Ride dan Langkawi Enduro Challenge bukanlah satu perkara baru di pulau ini. Jadi LADA cuba memperkenalkan acara berbasikal yang lebih santai melalui inisiatif Program Kayuhan Santai Alam atau Hello Environment untuk disertai oleh pelancong dan komuniti setempat di samping melaksanakan aktiviti konservasi di sekitar lokasi kayuhan. Kita juga bertuah pada hari ini kerana Puan Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli juga turut hadir untuk memeriahkan acara ini.”

Program yang telah memasuki siri kedua pelaksanaannya ini akan disertai oleh 159 orang peserta yang akan berkayuh sejauh 15 kilometer melalui kampung-kampung di sekitar Pantai Tengah, Langkawi. Selain itu, sesi perkongsian ilmu dan pembersihan juga dilaksanakan bersama kumpulan Geng Bersih Kampung di Kampung Padang Putih, Langkawi.

Selain itu, LADA turut menganjurkan Pesta Bendang 2022 bersempena dengan Karnival Langkawi Geopark 2022 bermula 3 hingga 5 Jun 2022 di Laman Padi. Pesta ini akan menjadi acara tahunan kepada pelancong dan ianya bakal menonjolkan aktiviti / kegiatan masyarakat petani untuk turut merasai pengalaman sebagai petani.

“Antara aktiviti yang bakal mencuri perhatian di dalam Pesta Bendang 2022 ini ialah Lawan Tanam Padi, Pertandingan Serkap Ikan, Pertandingan Mengail Puyu dan Futsal Bendang. LADA berharap program promosi sebegini dapat menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi muzium hidup Laman Padi di Langkawi.” ujar Nasaruddin.

Beliau turut menjelaskan bahawa, pada tahun ini pihak LangkawiFM menjadi rakan kolaborasi dalam penganjuran Program Ujibakat Bintang Kecil dan Bintang P. Ramlee. Selain itu, program ramah mesra LangkawiFM bersama artis jemputan seperti Tajul, Farisha Iris dan Farah Rose turut menjadi sebahagian daripada pengisian program pesta ini.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
3 Jun 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.