Tarikh : 27 Februari 2022 (Ahad)
Masa : 2.30 petang
Tempat : Auditorium LADA

KATA ALUAN

Terima kasih saudara / saudari pengerusi majlis,

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pendahuluan

Hadirin yang dihormati sekalian,

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ni bagi menjayakan Sesi Libat Urus Langkawi Bangkit. Program ini merupakan jalinan kerjasama di antara pihak LADA bersama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan SME Bank.

2. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya ucapkan kepada PUNB dan SME Bank khususnya kerana sudi berkolaborasi bersama LADA bagi menganjurkan sesi libat urus ini. Tidak dilupakan, setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada para pemain industri dan usahawan Langkawi yang terlibat dalam program ini kerana di sebalik kesibukan mengurus keperluan harian syarikat dan perniagaan, tuan-tuan dan puan-puan turut meluangkan masa untuk turut serta dalam program pada hari ini, sekali gus menjadikan majlis perasmian ini lebih bermakna buat kita semua.

SESI LIBAT URUS LANGKAWI BANGKIT PEMBIAYAAN KHAS KEPADA PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN LANGKAWI

3. Pada pagi ini, LADA bertindak sebagai pemudah cara di antara pemain industri serta usahawan Langkawi dengan Institusi Kewangan Berdaftar. Program ini lebih berkonsepkan sesi ramah mesra yang mana, sebentar lagi tuan/puan akan diberi taklimat dan penerangan bekaitan perkhidmatan pembiayaan khas sektor pelancongan yang ditawarkan oleh PUNB dan SME. Untuk makluman, skim pembiayaan yang bakal dikongsikan adalah sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dipantau oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

4. LADA berharap dengan usaha kecil ini dapat membantu pemain industri pelancongan dan usahawan Langkawi untuk menambah baik aliran tunai, modal pusingan serta modal untuk memulakan semula perniagaan yang terkesan teruk oleh krisis ekonomi yang sedang berlaku pada ketika ini. Ambillah peluang ini bagi mendapatkan gambaran dan maklumat berkaitan PENJANA dalam usaha memulihkan kembali perniagaan tuan puan.

5. Program ini merupakan salah satu usaha atau inisiatif berterusan untuk memastikan bumi Langkawi ini kekal makmur walaupun di dalam situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara dan global ketika ini.

PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

Hadirin yang dihormati sekalian,

6. Bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertujuan untuk memperkukuhkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Tiga teras utama di bawah PENJANA ialah memperkasa rakyat, melonjakan perniagaan dan meransang ekonomi.

7. Terdapat 40 inisiatif yang telah diperkenalkan di bawah PENJANA ini dengan jumlah peruntukan RM35 bilion. Salah satu inisiatif ialah skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA dengan peruntukan RM1 bilion.

8. Skim ini bertujuan membantu PKS dan perushaaan mikro tempatan memulihkan sektor pelancongan yang terjejas berikutan penularan COVID-19. Selain itu, ia juga mengekalkan keupayaan PKS dan perusahaan mikro tempatan serta membantu mereka membuat penyesuaian dan meningkatkan daya saing selepas negara pulih daripada COVID-19.

9. Untuk makluman semua, PKS dan perusahaan mikro yang memenuhi takrifan SME Corp Malaysia atau yang dilesenkan oleh/didaftarkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam sektor pelancongan teras dan sektor berkaitan pelancongan layak memohon skim pembiayaan ini.

10. Sektor pelancongan teras merangkumi:

a. Premis penginapan pelancongan (seperti hotel bajet, inap desa berdaftar, chalet dan rumah peranginan),
b. Agensi pelancongan; dan
c. Pengusaha pelancongan serta pengangkutan untuk pelancong (seperti pengusaha bas, bot dan kereta sewa)

11. Manakala sektor berkaitan pelancongan pula meliputi,
a. Pelancongan perubatan;
b. Ekosistem Mesyuarat, Insentif, Persidangan, Pameran (Meetings, Incentives, Conferences, Exhibitions – MICE);
c. Perniagaan pertukaran wang – untuk pengendali pertukaran wang yang berurusan dengan pelancong ke dalam dan ke luar negeri; serta
d. Perniagaan runcit, rekreasi dan kesihatan berkaitan pelancongan yang boleh membuktikan kebergantungan mereka yang besar terhadap pelancong.

12. Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM75,000 kepada perusahaan mikro dan sehingga RM300,000 kepada PKS pada kadar pembiayaan sehingga 3.5% setahun bagi tempoh pembiayaan tidak melebihi 7 tahun. Melalui skim ini juga, PKS dan perusahaan mikro diberi tempoh tangguh pembayaran balik minimum 6 bulan bagi membantu aliran tunai perusahaan tersebut.

13. Di kesempatan ini, saya menyeru supaya semua peserta merebut peluang ini untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat dan infomasi berkaitan Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA ini dalam usaha memulihkan perniagaan masing-masing. Insya’allah LADA dengan kerjasama PUNB dan SME Bank akan membantu sedaya mungkin supaya faedah ini dapat dinikmati oleh pemain industri pelancongan dan usahawan di Langkawi.

PEMULIHAN SEKTOR PELANCONGAN LANGKAWI

Hadirin yang dihormati sekalian,

14. Pada masa ini, ekonomi Langkawi dilihat semakin pulih terutamanya selepas MOTAC memperkenalkan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi. Mulai 16 September hingga 31 Disember 2021 jumlah keseluruhan kemasukan pelancong melalui Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi adalah 0.72 juta orang menjadikan jumlah keseluruhan pelancong ke Langkawi sebanyak 1.07 juta orangpada tahun 2021.

15. Kedatangan pelancong ini sekali gus membantu merancakkan kembali sektor pelancongan dan kebudayaan dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan dari peniaga di tepi jalan hinggalah penginapan mewah di hotel lima bintang. Jadi kita berharap dengan adanya limpahan ekonomi ini, Langkawi dapat kembali pulih dan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat Langkawi.

16. Dalam pada itu, Projek Rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi yang bermula pada 15 November tahun lalu turut dilihat memberikan efek yang postif. Sehingga 1 Februari 2022, jumlah pelancong antarabangsa yang melancong ke Langkawi telah menjangkau 5,215 orang pelancong yang datangnya dari 97 buah negara.

17. Kerajaan juga telah bersetuju prosedur operasi standard (SOP) dikemas kini seperti berikut:

a. Pelancong yang telah menerima dos penggalak dibenarkan keluar dari Pulau Langkawi pada hari kelima sekiranya ujian tindak balas rantai polimerase masa nyata (RT-PCR) COVID-19 pada hari keempat negatif atau kit ujian pantas (RTK) Antigen COVID-19 pada hari kelima negatif;

b. Pelancong asing diwajibkan membeli polisi insurans bernilai AS$50,000 (berbanding AS$80,000 sebelum ini) bagi COVID-19. Syarat ini dikecualikan bagi warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara;

c. Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah boleh turut serta melancong bersama-sama ibu bapa/penjaga masing-masing yang telah divaksin tanpa perlu menunjukkan bukti vaksinasi;

d. Kanak-kanak di bawah umur dua (2) tahun tidak perlu membuat saringan COVID-19; dan

e. Penerbangan masuk melalui KLIA2 dibenarkan (bermula 22 Februari 2022)

Penutup

Hadirin yang dihormati sekalian,

18. Saya mengambil kesempatan di sini untuk menyeru semua pihak, untuk terus mematuhi prosedur operasi standard bagi mengelakkan penularan jangkitan terus berlaku di Langkawi. Sehingga 24 Februari 2022, kes harian telah menginjak melebihi 30,000 kes sehari di Malaysia menjadikan kes aktif sebanyak 277,829 dengan jumlah kematian terkini adalah 32,488 orang. Kita jaga Langkawi.

19. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan SME Bank serta semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program ini.

20. Dengan lafaz Bismillah Hirrahman Nirrahim saya merasmikan Sesi Libat Urus Langkawi Bangkit Pembiayaan Khas Kepada Pemain Industri Pelancongan Langkawi.

Sekian, terima kasih.