Langkawi, 12 Februari – Pulau Langkawi bersedia untuk menjadi hab pelaburan utama sektor pelancongan di Malaysia.

Menurut Yang Berhormat Exco Industri dan Pelaburan Kedah Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail, penganjuran julung kali Program Langkawi Invest Day ini adalah bertujuan untuk mempromosikan peluang-peluang pelaburan baru khususnya sektor perkhidmatan pelancongan yang masih belum diterokai di pulau ini.

“Keputusan melaksanakan Langkawi Invest Day dengan tema ‘Unlocking Investment Opportunity for Sustainable Tourism’ ini dilihat dapat membantu merancakkan semula industri pelancongan dan pertumbuhan ekonomi pulau ini terutamanya dalam usaha menjadikan Langkawi destinasi utama pelancongan termasuk pelancongan perubatan.” Kata YB Exco Industri dan Pelaburan Kedah, Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) tidak bersendirian untuk memperkasakan pelaburan di Langkawi. Antara rakan strategik yang

sentiasa memainkan peranan penting adalah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN), Invest Kedah Berhad dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP). Turut dijelaskan bahawa 300 penyertaan diterima yang terdiri daripada pihak swasta serta para pelabur.

“Langkawi merupakan destinasi pelancongan yang terkenal di mata dunia dan sentiasa menjadi perhatian pelabur. Justeru, dengan berlangsungnya program ini maka LADA dan rakan strategik dapat mempromosikan dan menawarkan tanah-tanah yang berpotensi milik LADA serta tanah milik kerajaan negeri kepada pelabur-pelabur yang berminat. Saya berpandangan bahawa kejayaan penganjuran program ini bakal memberikan nilai positif kepada negeri Kedah.” Ujar beliau semasa ditemui di dalam majlis perasmian Langkawi Invest Day hari ini.

Prestasi pelaburan pulau pelancongan ini didapati meningkat pada tahun 2022 dengan catatan sebanyak RM1.8 bilion berbanding tahun 2021 yang hanya berjaya mencatat nilai pelaburan pada RM1.2 billion sahaja. Walaupun pertumbuhan ekonomi agak perlahan, namun nilai pelaburan yang masuk ke Langkawi dilihat masih positif dalam fasa pemulihan ekonomi atau pasca COVID-19.

“Pada tahun ini, kita mensasarkan Langkawi bakal membawa masuk 1 billion nilai pelaburan dalam pelbagai bentuk pelaburan komersial. Antaranya, pelaburan dalam pembinaan hotel bertaraf 4 hingga 5 bintang, produk eko pelancongan dan pusat membeli belah. LADA turut mengalu-alukan pelbagai jenis bentuk pelaburan ke pulau ini. Antara
pelaburan baharu yang berimpak tinggi dan amat diperlukan di sini

adalah pelaburan berasaskan pelancongan kesihatan seperti hospital pakar atau pusat kesihatan bagi menjadikan Langkawi sebagai hab pelancongan perubatan di negara ini. Selain itu, pelaburan dalam bidang pendidikan berpotensi besar untuk dibangunkan dengan mewujudkan universiti atau kolej antarabangsa seterusnya menjadikan Langkawi sebagai salah satu hab pendidikan yang diminati.” Kata Wan Kamarul Faisal bin Wan Kamardin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Perancangan Dan Pembangunan) LADA.

Dalam pada itu, LADA amat optimis dalam menarik pelaburan berkaitan teknologi hijau ke pulau ini. Ini adalah salah satu inisiatif untuk kelestarian alam sekitar bumi Langkawi.

Semoga pembangunan dan pelaburan baharu di pulau legenda ini menjadi nilai tambah kepada industri pelancongan dapat meningkatkan ekonomi Langkawi.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
12 Februari 2023

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.