Langkawi, 1 Mac 2023 – LADA telah mengadakan Sesi Business To Business (B2B) antara pemain industri Langkawi dan Satun. Program B2B ini telah diadakan pada 1 Mac 2023 di Goldsands Hotel, Langkawi.

LADA telah menerima seramai 22 orang pengusaha pelancongan daripada Satun untuk menyertai Sesi B2B ini. Bagi tujuan B2B ini juga, LADA telah menjemput 58 pengusaha pelancongan di Pulau Langkawi yang terdiri daripada 28 travel agent, 20 pihak hotel dan 10 produk pelancongan bagi menyertai sesi ini.

Sesi B2B ini bertujuan untuk mengukuhkan rangkaian kerjasama di antara pengusaha pelancongan di Langkawi dengan pengusaha pelancongan di Satun. Rangkaian kerjasama ini perlu diperkukuhkan memandangkan Thailand merupakan jiran yang paling hampir dengan Pulau Langkawi dan turut berkongsi perairan Andaman. Oleh itu, Langkawi boleh mengambil kesempatan ini untuk menjalin rangkaian dengan Thailand bagi memasarkan kedua-dua destinasi sebagai Twin-Cities.

Pada Sesi B2B ini juga, telah diadakan sidang media bagi pelancaran acara Satun-Langkawi Fishing Thru Andaman 2023. Acara ini akan berlangsung pada 16 hingga 19 Mac 2023 di Jeti Pakbara, La Ngu, Thailand. Acara ini akan turut melibatkan lebih 70 peserta daripada Langkawi. Justeru itu, secara tidak langsung program seperti ini akan mengukuhkan hubungan kerjasama yang lebih erat di antara 2 hala.

Di samping itu, LADA juga mengadakan FAM Trip bagi agen-agen pelancongan Satun bermula pada 2 hingga 3 Mac 2023. Program ini bertujuan untuk mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa kepada pemain industri pelancongan di Thailand. Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif LADA untuk mempromosikan Langkawi kepada pemain industri pelancongan dan syarikat korporat di sekitar Thailand sebagai destinasi pelancongan yang menarik terutamanya bagi ‘segment’ MICE.