Langkawi, 10 Mac 2023 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras Pembangunan Usahawan Langkawi Ke Kilang Original Equipment Manufacturer (OEM) sekitar Kedah dan Pulau Pinang. Lawatan ini yang disertai oleh seramai 7 orang usahawan Langkawi dan 4 orang pegawai LADA diketuai oleh Puan Lina Azlina binti Zali, Penolong Pengurus Kanan, Bahagian Pelaburan dan Pemudahcara Perniagaan, LADA.

Sesi lawatan ini telah diadakan di empat kilang OEM yang terpilih iaitu kilang Skinlab Biotech di Jitra, Kedah dan Mutiara Jingga Manufacturing di Butterworth, Pulau Pinang yang merupakan kilang berasaskan produk-produk kesihatan dan kecantikan serta kilang OEM berasaskan pembuatan makanan sejuk beku seperti Nani’s Frozen Food di Jeniang, Kedah dan kilang teknologi retort iaitu Heritage Muslim Food Industry di Butterworth, Pulau Pinang.

Dalam sesi lawatan ke kilang Nanis Frozen Food, para usahawan telah berpeluang mendengar taklimat daripada pengasas kilang ini sendiri iaitu Puan Hajah Rozaini binti Saleh yang menceritakan pengalaman dan cabaran beliau dalam menjalankan perniagaan sehingga berjaya mengeksport produk beliau ke luar negara. Selain itu juga beliau turut berkongsi tips dan ilmu pengetahuan berkaitan perniagaan beliau. Kejayaan beliau telah memberi inspirasi dan dorongan kepada semua usahawan untuk berusaha lebih lagi bagi memajukan perniagaan masing-masing.

Selain itu juga, dalam siri taklimat berkaitan produk-produk kecantikan OEM oleh Puan Shafarina binti Radzi dari Skinlab Biotech dan Puan Niza dari MJM Sdn. Bhd. telah menarik minat usahawan untuk bekerjasama pada masa hadapan.

Adalah menjadi harapan pihak LADA agar melalui sesi lawatan ini dapat membuka peluang kepada usahawan untuk mempelbagaikan tawaran produk sedia ada serta menceburi bidang perniagaan baru berasaskan produk OEM seterusnya mengembangkan perniagaan sedia ada ke pasaran export di masa akan datang.

#kitajagalangkawi
#jomtambahilmu
#lada&usahawanlangkawi
#demilangkawi
#UsahawanLangkawi
#LADA