Tarikh : 26 Mac 2022 (Sabtu)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Dataran Menara MAHA

KATA ALUAN

Terima kasih saudara / saudari pengerusi majlis,

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

SALUTASI

PENDAHULUAN

Hadirin yang dihormati sekalian,

1. Pertama sekali, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, memberi kita kesihatan dan juga kelapangan untuk sama-sama menghadiri Program Kayuhan Sempena Sambutan Earth Hour yang diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun LADA yang ke-32.

2. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ketua-ketua jabatan di Langkawi serta wakil yang sudi melapangkan masa untuk bersama-sama hadir malam ini untuk memeriahkan lagi program ini.

3. Tidak lupa juga terima kasih diucapkan kepada rakan media dan semua peserta program yang hadir pada malam ini. Saya juga amat gembira dan terharu melihat kehadiran anda semua kerana saya yakin kehadiran ini bukan sahaja melambangkan keprihatinan tetapi melambangkan komitmen kita kepada kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

SAMBUTAN EARTH HOUR

Hadirin yang dihormati sekalian

4. Earth Hour merupakan salah satu inisiatif global yang dilakukan dengan kerjasama World Wide Fund (WWF). Sambutan ini merupakan sebuah simbolik bertujuan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjimatan tenaga dan juga kesannya terhadap alam sekitar.

5. Acara ini kini dikenali sebagai kempen dunia terbesar bagi menyelamatkan bumi kita. Acara tahunan ini bermula pada tahun 2007 di Sydney, Australia, di mana 2.2juta individu dan lebih daripada 2,000 premis perniagaan mematikan lampu elektrik bukan penting selama satu jam pada hari Sabtu minggu terakhir setiap bulan Mac sebagai tanda sokongan mereka dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

6. Kempen Earth Hour ini, telah menjadi acara yang disertai oleh 7,000 Negara dan bandar seluruh dunia. Malaysia juga merupakan salah sebuah negara yang menyertai acara ini secara aktif sejak pertama kali ia diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2009.

PROGRAM KAYUHAN MALAM

Hadirin yang dihormati sekalian

7. Pada tahun ini, buat pertama kalinya LADA mengadakan satu acara khas bagi menyertai kempen Earth Hour dengan memperkenalkan Program Kayuhan Malam Sempena Sambutan Earth Hour. Kayuhan santai pada malam ini akan melibatkan 200 orang peserta dengan jarak kayuhan sejauh 10km mengelilingi pekan Kuah. Melihatkan sambutan yang memberangsangkan, insya’allah program ini akan menjadi program tahunan di Langkawi.

8. Sebagai simbolik sambutan Earth Hour, Pengurusan Menara Maha akan turut mematikan lampu Menara MAHA serta kawasan sekitar di bawah seliaannya selama 1 jam bermula 8.30 malam hingga 9.30 malam. Seluruh warga Langkawi disarankan untuk turut serta bersama-sama menyertai sambutan ini dengan mematikan lampu selama tempoh sejam sebagai satu simbolik, melainkan di kawasan umum atas faktor keselamatan.

9. Program ini adalah sejajar dengan aspirasi Langkawi UNESCO Global Geopark yang mementingkan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Kita berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran awam komuniti Langkawi akan pentingnya menghargai bumi dan alam sekitar.

PENUTUP

10. Jadikanlah aktiviti sebegini sebagai sumber inspirasi untuk mendidik keluarga dan komuniti untuk mencintai alam sekitar memandangkan kesedaran kepada alam sekitar perlu dididik di usia masih muda supaya menjadi sifat terpuji dan ikutan generasi berikutnya.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.