Langkawi, 1 Julai 2023 – Sesi pembentangan Laporan Kemajuan (Progress Report Briefing) telah dijalankan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Pengurus LUGGp dan Pakar Geologi LUGGp kepada penilai-penilai UNESCO. Pelbagai kejayaan, cabaran dan inisiatif berterusan berkaitan geotourism, usaha pemuliharaan dan penglibatan komuniti telah diperlihatkan kepada penilai-penilai tersebut. Sesi pembentangan ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penilai-penilai UNESCO akan usaha berterusan dan komitmen yang jitu yang telah diberikan terhadap pembangunan geopark dan amalam mampan.
Seterusnya, penilai-penilai tersebut telah dibawa ke Kilim Karst Geoforest Park yang diuruskan oleh Koperasi Komuniti Kampung Kilim. Kerjasama ini menunjukkan penglibatan komuniti yang signifikan dalam menjayakan aktiviti pelancongan serta memelihara kepelbagaian biologi serta warisan budaya LUGGp. Delegasi ini juga turut dibawa ke Geopark Discovery Centre Langkawi yang menonjolkan kekayaan warisan geologi dengan pelbagai formasi batuan, biodiversity yang unik dan khazanah budaya yang terdapat di LUGGp.
Pada sebelah petang, sesi lawatan ini telah diteruskan ke Kubang Badak BioGeotrail yang menunjukkan salah satu inisiatif yang diusahakan oleh komuniti tempatan iaitu ‘Crab Farm’ dan ‘Laktud Farm’. Usaha penternakan ketam dan laktud ini dilihat amat penting dalam menjaga kelestarian hidupan laut yang semakin terancam.