13 Julai 2023 – Unit Pengurusan Psikologi, Seksyen Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan, Kementerian Kewangan Malaysia telah mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Kementerian Kewangan Malaysia bertempat di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit, Kuala Lumpur.

LADA turut dijemput sebagai Ketua Fasilitator Kumpulan Sasaran Menengah Rendah untuk sesi kali ini. AKRAB LADA diwakili oleh Ts. Muhammad Fakharie bin Dato Hj Che Pee, Pengerusi AKRAB LADA dan Encik Ikhwan bin Mohd Said, AJK Biro Kompetensi dan Program AKRAB MOF.

Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih menempatkan pelajar-pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga yang kurang memuaskan dari segi pendapatan, isu kekeluargaan dan juga psikologi. Jumlah yang terkini adalah seramai 133 orang pelajar terdiri daripada pelbagai peringkat umur iaitu daripada pra sekolah sehingga menengah atas. Sekolah ini turut dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan menyalurkan dana bagi membina persekitaran sekolah dan asrama yang lebih selesa dan kondusif.

LADA bersama dengan beberapa fasilitator daripada AKRAB Perbendaharaan dan Biro Agama MOF telah mengendalikan satu sesi bersama pelajar iaitu Art Therapy : HTP (Home Tree People). Sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada semua pelajar yang hadir. Program selingan iaitu ceramah turut diadakan dan disampaikan oleh penceramah bebas Ustazah Isfadiah Ahmad Dasuki.

Akhir sekali, LADA akan terus memberi sumbangan dalam setiap program anjuran Kementerian Kewangan sebagai tanda sokongan penuh terhadap usaha murni seumpama ini.