Acara Langkawi Ultra 2020 telah berlangsung bermula 29 Februari sehingga 1 Mac 2020 yang lalu di sekitar Pulau Langkawi yang bermula dan berakhir di Resort World Langkawi. My Ultra Running telah bertindak sebagai penganjur acara bagi acara Langkawi Ultra 2020 ini dan telah menerima sejumlah 800 penyertaan peserta yang amat menggalakkan dari dalam dan luar negara. Kategori-kategori yang telah dipertandingkan di dalam acara Langkawi Ultra 2020 ini adalah 100KM, 50KM, 21KM, 10KM, 5KM, 2KM kids run dan 650M kids run. Objektif penganjuran acara Langkawi Ultra 2020 ini adalah bertujuan untuk mewujudkan arena/platform acara larian yang bertaraf dunia di Malaysia dan Langkawi yang bersemangat, berpengaruh serta disertai oleh komuniti larian tempatan juga antarabangsa. Selain daripada itu, acara ini juga turut memberi pendedahan kepada komuniti larian di Malaysia untuk berlari di laluan jalan dan jejak (road & trail) serta membantu mempromosikan keindahan pulau Langkawi kepada komuniti larian tempatan dan peserta luar negara.