Tarikh : 4 Disember 2024 (Isnin)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Hotel Bayview, Kuah

Venue: Rimba Sky, Ambong-ambong Resort, Langkawi

KATA ALUAN

Terima kasih saudara/saudari pengerusi majlis,
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh, Salam Malaysia Madani, Salam Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua

Salutasi

Yang Berusaha Encik Ibrahim Bin Ismail,
Perunding ICT, Bahagian Perundingan ICT, MAMPU.

Yang Berusaha Ts. Dr. Nurul Aisyah Sim Binti Abdullah,
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perundingan ICT, MAMPU.

Yang Berusaha Encik Mohd Nawawi Bin Mustafa,
Pakar ICT, Bahagian Perundingan ICT, MAMPU.

Yang Berusaha Puan Asmidartul Wahidah Binti Ahmad,
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perundingan ICT, MAMPU.

Pegawai-pegawai dan kakitangan LADA yang dihormati sekalian.

PENGENALAN

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya, dapat kita bersama-sama hadir pada pagi ini bagi menjayakan Bengkel Pembangunan Pelan Pemulihan Bencana ICT LADA anjuran Bahagian Teknologi Maklumat LADA dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

2. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih LADA ucapkan kepada pasukan perunding MAMPU yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama dalam bentuk khidmat rundingan serta khidmat nasihat teknikal dalam menjayakan projek-projek ICT LADA.

3. Untuk makluman semua, kakitangan LADA yang terlibat untuk bengkel hari ini adalah terdiri daripada semua key user atau champion sistem aplikasi masing-masing. Penglibatan semua kakitangan dari semua bahagian dan unit amat diperlukan dalam memberi input bagi memastikan pelan ini dapat dibangunkan memenuhi keperluan pemilik dan pengguna sistem.

PELAN STRATEGIK PENDIGITALAN

4. Seperti yang telah sedia maklum, LADA telah membangunkan Pelan Strategik Pendigitalan LADA bagi tahun 2022-2026, juga dengan kerjasama MAMPU sebagai salah satu inisiatif dalam memantapkan lagi pembangunan organisasi dan tadbir urus ICT LADA.

5. Di bawah Teras Strategik 3, Pemantapan Tadbir Urus ICT Yang Dinamik, LADA telah merancang untuk membangunkan Pelan Pemulihan Bencana ICT atau Disaster Recovery Plan (DRP) yang akan dijadikan panduan untuk meminimumkan impak di samping memastikan kesinambungan sistem penyampaian perkhidmatan LADA sekiranya berlaku gangguan atau bencana.

PELAN PEMULIHAN BENCANA ICT

6. Dalam menangani insiden keselamatan ICT, pemulihan sistem amat perlu untuk memastikan keboleh sediaan dan kebolehcapaian.

7. Objektif utama pelan DRP ini diharap dapat membantu LADA untuk meminimumkan sebarang gangguan atau kerugian akibat daripada ketidaksediaan LADA dalam menangani insiden ICT.

8. LADA juga berhasrat dokumen pelan yang akan dibangunkan kelak dapat dijadikan rujukan utama dalam menetapkan sumber, mengenal pasti tindakan, tanggungjawab dan data yang diperlukan serta tatacara pemulihan aplikasi terutamanya aplikasi kritikal.

9. Buat masa ini LADA telah mengenal pasti sebanyak 30 sistem aplikasi dalaman yang digunakan oleh kakitangan LADA termasuk pelanggan LADA dalam penyampaian perkhidmatan.

10. Justeru, adalah penting untuk meminimumkan kesan bencana ke atas perkhidmatan dan aplikasi selepas berlaku gangguan bencana serta memastikan agensi boleh menyambung perkhidmatan dengan cepat terutama yang melibatkan aplikasi kritikal.

11. Selain itu, pelan DRP ini juga diharap dapat membantu LADA dalam memelihara imej dan reputasi sebagai agensi Kerajaan daripada terjejas akibat insiden dan bencana yang tidak dapat dijangkakan.

PENUTUP

Hadirin yang dihormati sekalian,
12. Sekiranya kita gagal merancang, kita sebenarnya merancang untuk gagal. Tidak dinafikan apabila berlaku sebarang insiden mahupun bencana, proses peralihan dan impak akan tetap berlaku. Walau bagaimanapun, diharapkan penghasilan pelan DRP ini dapat membantu untuk kita sama-sama jadikan sebagai panduan dalam menangani insiden kelak.

13. Saya berharap bengkel ini dapat mencapai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak MAMPU, Bahagian Teknologi Maklumat LADA serta semua kakitangan yang terlibat.

14. Saya akhiri dengan 2 rangkap pantun.
Dari airport terus ke pekan,
Pekan Kuah nama diberi,
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiringi restu Ilahi.

Malam hari tak tahu ke mana,
Ikan bakaq perlu dicari,
Hadir Tuan Puan membantu melaksana,
Moga sempurna DRP kami.

Terima kasih.