Peperangan bagi menghentikan penularan wabak COVID 19 di Malaysia, masih di teruskan oleh semua pihak dalam usaha mengembalikan keamanan negara. Dalam hubungan ini, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) turut mengambil bahagian bagi bersama-sama membantu semua pihak terutamanya petugas barisan hadapan yang sentiasa bersiap sedia memayungi negara dan melindungi rakyat daripada bencana penularan wabak pandemik ini. Hari ini, YBhg. Dr. Hezri Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama pasukan CSR LADA yang terdiri daripada En. Mohd Tarmizi bin Mohd Tajuddin, En. Mohd Syafiq bin Md. Lani serta En. Mohd Shukri bin Ishak telah menyampaikan sumbangan kepada petugas-petugas di Hospital Sultanah Maliha Langkawi. Program ini merupakan program di bawah elemen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) jabatan. Pengarah Hospital Sultanah Maliha Langkawi iaitu Dr. Mansor Ismail bersama petugas-petugas hospital menerima sumbangan tersebut dengan mesra dan penuh kesyukuran. Sumbangan yang disalurkan pada kali ini berbentuk sumbangan makan tengahari kepada 200 petugas hospital. Semoga sumbangan kecil daripada LADA ini dapat mengembalikan kekuatan, meningkatkan kesabaran pasukan barisan hadapan untuk berhadapan dengan bencana Covid 19 ini. Di dalam sesi yang sama, Dr. Hezri Adnan turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua petugas atas perjuangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk terus memastikan masyarakat Langkawi bebas dan selamat daripada bencana Covid 19. Kepada Allah kita berdoa dan berserah agar Malaysia kembali aman, sejahtera serta sentiasa dalam lindungan Allah SWT.