Langkawi, 1 Disember 2021 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Langkawi (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Friends of Langkawi Geopark (FLAG) menganjurkan Forum Kelestarian Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) 2021 selama dua hari pada 1 dan 2 Disember 2021 di Hotel Aloft, Langkawi. Bertemakan “Pemerkasaan Komuniti ke Arah Kemakmuran Bersama”, forum ini bertindak sebagai medium bagi memupuk komitmen dan penglibatan komuniti tempatan di LUGGp untuk merealisasikan perubahan positif dalam wilayah geopark.

Enam tema telah dipilih bagi pelaksanaan forum ini iaitu Pemuliharaan Warisan, Pendidikan Awam, Produk Geopelancongan, Penglibatan Komuniti, Perniagaan Geopark (Produk Geopark) dan Pembangunan Lestari.

“LADA menyasarkan penglibatan aktif pihak berkepentingan dalam pengurusan LUGGp bagi mendapatkan maklumat dan pandangan serta meneliti keberkesanan program yang telah dilaksanakan. Semua ini akan dijadikan asas dalam membina hala tuju, pelan dan strategi pembangunan masa hadapan LUGGp. Tahniah kepada LADA yang sentiasa peka dan menjadi penggerak kepada kejayaan serta kesinambungan LUGGp”, kata YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Beliau turut menambah, “Pada hari ini, kita akan melancarkan dua inisiatif baharu di LUGGp iaitu Projek Konservasi Alam One Tourist One Tree (1T1T) yang merupakan kolaborasi antara Pejabat Perhutanan Langkawi dan LADA serta Projek Orang Langkawi yang melibatkan semua komuniti di Langkawi. Projek Konservasi Alam 1T1T merupakan inisiatif pemuliharaan dan pemeliharaan flora di Langkawi dengan sasaran penanaman 100 juta pokok dalam tempoh 5 tahun, manakala Projek Orang Langkawi pula adalah satu projek komuniti yang dilancarkan oleh kumpulan penggiat seni muda dengan sokongan LADA yang mengumpul cerita-cerita kehidupan orang Langkawi tentang usaha, harapan serta kegigihan wira-wira tidak ternama, seterusnya menggambarkan keindahan warisan dan tradisi kehidupan penduduk tempatan pulau ini.”

Mengulas lanjut berkenaan penganjuran forum tersebut, YBrs. Nasaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA berkata, “Forum ini menyasarkan penglibatan seramai 150 orang rakan strategik LUGGp yang terdiri daripada komuniti setempat, penggiat dalam bidang seni, kulinari dan pendidikan, agensi penguatkuasaan dan pelaksanaan dalam pembangunan Langkawi, pemain industri pelancongan, kumpulan pakar serta agensi teknikal yang membantu pembangunan geopark di Malaysia. Ini selaras dengan usaha melibatkan penduduk Langkawi kerana komuniti tempatan yang berada dalam geopark merupakan sebahagian daripada komponennya dan bertanggungjawab untuk turut membangunkan geopark.”

Tambah beliau, “Langkawi merupakan sebuah pulau pelancongan yang unik dan menampilkan keistimewaan status UNESCO Global Geopark. LADA optimis kemasukan pelancong ke pulau ini bakal meningkat dengan inisiatif pemerkasaan komuniti yang strategik dan dinamik seiring dengan pembangunan dan kelestarian alam semula jadi di sini. Sehingga 26 November 2021, Langkawi menerima 402,821 orang pelancong dan kita yakin dengan kekuatan tagline yang dimiliki iaitu Naturally Langkawi serta pengiktirafan UNESCO, pulau ini bakal menjadi tumpuan pelancong semula sedikit masa lagi.”

Semoga penganjuran forum dan kerjasama strategik antara LADA, Pusat Penyelidikan Langkawi (UKM) dan Friends of Langkawi Geopark (FLAG) ini akan menjadikan Langkawi terus relevan sebagai pusat rujukan utama UNESCO Global Geopark, seterusnya memberi inspirasi kepada negara-negara lain di rantau Asia Pasifik.