Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menjalin kerjasama dengan MORAC Adventure Park bagi menganjurkan acara sukan permotoran Go Langkawi 6 Hours Endurance Race 2021 di litar MORAC Adventure Park, Langkawi. Acara berkonsepkan perlumbaan karting tanpa henti selama 6 jam ini telah mula berlangsung pada 8 hingga 10 Januari 2021 dan ianya merupakan yang pertama kalinya diadakan di Malaysia.
Acara telah berjaya menarik 13 penyertaan pasukan yang terdiri daripada kategori profesional dan amatur dengan 49 pemandu yang akan terlibat sepanjang perlumbaan ini. Perlumbaan ini turut diserikan dengan penyertaan dua ikon pelumba negara iaitu Alex Yoong dan Mohd Fairuz bin Mohd Fauzi.
Penganjuran acara sebegini diharapkan dapat mempromosikan Pulau Langkawi sebagai hub penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa termasuklah sukan permotoran karting. Selain itu, ianya dijangka dapat memperkenalkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan keluarga terkemuka dunia memandangkan sukan ini sesuai ditonton oleh pelbagai lapisan umur penggemar sukan permotoran.
Acara ini juga dilaksanakan bagi memperlihatkan penganjuran acara sukan bermotor boleh dilaksanakan tanpa mengabaikan SOP yang dikeluarkan oleh pihak MKN dan KKM semasa negara dilanda wabak COVID-19. Usaha-usaha bagi menggiatkan semula penganjuran acara pelancongan dalam mendepani cabaran COVID-19 akan diteruskan dari masa ke masa demi kelangsungan pemulihan ekonomi di pulau pelancongan ini.