Langkawi, 30 Mac 2022 – Program Gotong-Royong Mega anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada Rabu lalu menambah kemeriahan Sambutan Ulang Tahun LADA Ke-32. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini disertai oleh 250 orang kakitangan dari 14 agensi dan jabatan di sekitar Langkawi serta tiga buah anak syarikat LADA. Matlamat utama pelaksanaan program ini adalah bagi menjaga kebersihan dan kelestarian alam semula jadi Pulau Langkawi.

“LADA amat bersyukur kerana mendapat sokongan daripada pelbagai agensi, antaranya seperti E-Idaman Sdn. Bhd., Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi. Kerja gotong-royong ini melibatkan lima lokasi iaitu Jambatan Sungai Kuah, Taman Legenda, Restoran 1 Malaysia berhampiran Dataran Lang, Taman Chogm dan Tangga Helang Seribu Kenangan di Gunung Raya yang juga lokasi utama bagi aktiviti gotong-royong ini,” kata YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.

“Kita menganggarkan sebanyak 1,000 kilogram sampah akan dikutip hari ini. Antara kerja-kerja lain yang dilaksanakan secara khusus pada kali ini ialah pembersihan laluan Tangga Helang Seribu Kenangan bagi mengindahkannya kembali untuk dijadikan sebagai lokasi tumpuan pelancong semula. Semoga aktiviti gotong-royong ini dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan penduduk Langkawi seiring dengan pengiktirafan pulau ini sebagai Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp). Pengiktirafan ini mementingkan kelestarian alam semula jadi, iaitu satu perkara penting yang kita usahakan secara berterusan buat pulau ini. Kita juga ingin menjadikan Langkawi sebagai pulau rendah karbon pertama di negara ini,” tambah beliau.

Semoga aktiviti gotong-royong ini bukan sahaja dapat membersihkan persekitaran Langkawi, malah dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara agensi dan juga komuniti setempat di pulau ini.