Langkawi, 2 Julai 2023 – Penilaian Semula LUGGp pada hari kedua dimulakan dengan lawatan ke Drive-Thru Recycle Centre yang menitikberatkan inisiatif pengurusan sisa pepejal dengan menggalakkan para pengguna untuk mengitar semula sisa pepejal demi menjadikan Pulau Langkawi lebih bersih dan sentiasa terjaga buat generasi akan datang.
Seterusnya, penilai-penilai UNESCO tersebut telah dibawa ke Pulau Tuba yang menjadi salah satu tempat bagi program pendidikan lestari, dimana LADA mengadakan Program Idaman Geosite Clean Up setiap minggu bagi membersihkan perairan di sekitar Pulau Langkawi. Program kerjasama ini bukan hanya demi menjaga kepentingan alam sekitar di Pulau Langkawi, namun sekaligus dapat mengeratkan hubungan semua pemegang taruh yang menjayakan agenda Geopark ini.
Di Pulau Tuba juga, penilai-penilai ini telah dibawa ke Bukit Kechill bagi melihat formasi batuan yang sangat unik. Batuan-batuan ini menjadi daya penarik yang amat besar buat penggemar geologi dan alam semula jadi. Selain itu, delegasi ini juga dibawa melihat penghasilan keropok leko atau lebih dikenali sebagai ‘Tuba Leko Show’ yang telah diusahakan oleh usahawan wanita. Hasil usaha dan kepakaran yang ditaburkan menjadikan mereka mampu menjana pendapatan yang mampan untuk menyara kehidupan masing-masing.