Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT)

Mesyuarat Ke-27 Peringkat Menteri Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) (Atas Talian) pada 6 Ogos 2021 (9.30 pagi-2.30 petang)

Bersempena dengan Mesyuarat ke-27 Peringkat Menteri IMT-GT pada 6 Ogos 2021 (Jumaat) yang telah dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), satu Majlis Menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) telah diadakan secara atas talian antara Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp), Satun UNESCO Global Geopark (SUGGp) dan Toba Caldera UNESCO Global Geopark (TCUGGp).

LUGGp telah diwakili oleh YBrs. Tuan Haji Rohaizad bin Rashid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA, manakala SUGGp dan TCUGGp masing-masing diwakili oleh Narongrit Thungprue (Pengarah SUGGp) serta Ir. Mangindar Simbolon (Pengurus Besar TCUGGp).

Antara intipati kandungan MoU ini termasuklah cadangan kerjasama melalui aktiviti pendidikan dan penyelidikan, pembangunan budaya dan pelancongan serta promosi pembangunan lestari antara ketiga-tiga geopark.

Dengan termeterainya perjanjian secara atas talian ini, LUGGp berharap jalinan kerjasama antara ketiga-tiga negara dapat diperkukuhkan serta kempen promosi destinasi geopark di Asia Tenggara ini dapat diperkasakan menerusi potensi peluang kerjasama yang bakal dilaksanakan selepas pintu sempadan dibuka kelak.

#LUGGp
#NaturallyLangkawi
#LangkawiPermataKedah